Himpunan bantah ICERD berkaitan air muka, kata penganalisis

Himpunan anti-ICERD dijadualkan diadakan esok di Kuala Lumpur walaupun selepas Putrajaya memaklumkan ia tidak akan meratifikasi perjanjian itu.

PETALING JAYA: Penganalisis menyifatkan himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dijadualkan esok hanyalah langkah PAS dan Umno menyelamatkan “air muka” masing-masing dan membuktikan peranan dalam memperjuangkan hak orang Melayu dan kepentingan Islam.

Pensyarah Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kempen berterusan mengenai ICERD, yang tidak akan diratifikasi oleh Putrajaya, akan mendapat sokongan kelompok orang Islam konservatif dalam kedua-dua parti berkenaan.

“Umno dan PAS juga mahu dilihat sebagai pembangkang yang akan menyuarakan apa-apa juga isu. Jika tidak, mereka akan dilihat tidak relevan dari segi politik di pentas nasional,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, perhimpunan itu juga merupakan cara bagaimana parti tersebut menunjukkan kekuatan dan membuktikan mereka mempunyai penyokong walaupun selepas tewas dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Himpunan anti-ICERD dijadualkan diadakan esok dari jam 2 hingga 6 petang. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi lampu hijau kepada penganjur himpunan walaupun ibu pejabatnya di Jalan Raja Laut akan ditutup sepanjang masa itu.

Pada Rabu lalu, editor veteran, Datuk A Kadir Jasin, yang juga merupakan penasihat khas media dan komunikasi kepada perdana menteri, menulis di laman blog beliau bahawa PAS dan Umno menggunakan perhimpunan itu untuk “menanda aras” pihak mana yang lebih berpengaruh.

Seperti Awang Azman, Kadir berkata, PAS dan Umno tidak mempunyai pilihan selain daripada menggunakan peluang yang ada bagi meraih untung politik berikutan pencapaian lemah mereka dalam pilihan raya umum lepas.

Beliau juga berkata, perhimpunan tersebut akan membawa PAS dan Umno ke pentas yang sama, walaupun wujud pandangan bahawa ia sebenarnya merupakan manifestasi persaingan antara 2 parti pro-Islam itu.

Pakar geostrategi politik Dr Azmi Hassan dari Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia berkata, perhimpunan berhubung isu itu sebelum ini menunjukkan PAS dan Umno mempunyai sokongan yang mencukupi untuk menghentam Putrajaya.

“Saya bersetuju dengan Kadir bahawa perhimpunan itu bertujuan menunjukkan kekuatan, bukan antara PAS dengan Umno, tetapi tentang bagaimana parti itu meraih kesetian, bukan daripada penyokong mereka, tetapi juga orang Islam lain.”

Azmi berkata, walaupun sekarang PAS dan Umno kerap bekerjasama, namun mereka memerlukan tujuan tunggal bersama bagi mengikat hubungan lebih kukuh.

“Dalam kes ini, ICERD (membantu tujuan itu),” katanya.

Bagi beliau, perhimpunan tersebut patut diteruskan kerana PAS dan Umno telah banyak menghabiskan masa dan wang ke arah tersebut.

Dr Oh Ei Sun dari Pusat Penyelidikan Pasifik (PRC) juga bersetuju bahawa penerusan perhimpunan itu bertujuan menunjukkan kekuatan, walaupun tujuan asalnya tidak lagi relevan.

“Sifat politik Malaysia ialah selain wang, yang menarik jumlah pengundi yang ramai, mesti wujud penonjolan kekuatan bagi mendorong orang awam percaya bahawa angin sedang bertiup dari arah tertentu, dan mereka perlu mengikutinya.”

Penganalisis dari Universiti Tasmania, Prof James Chin mengingatkan, sekiranya PAS dan Umno berjaya menghimpunkan lebih 100,000 peserta – kurang 400,000 orang berbanding angka sasaran mereka – maka Putrajaya perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi “perang besar politik” pada masa depan.

Kata beliau, “kebimbangan besarnya ialah kemungkinan ada elemen yang akan menggunakan perhimpunan itu untuk memulakan kekacauan,” selain percaya, perhimpunan pro-hak asasi manusia yang bakal dihadiri pemimpin kerajaan pada hari sama boleh menarik kehadiran yang sama.

Umno, PAS dan kumpulan pro-Melayu, Perkasa, telah menyuarakan sokongan pada perhimpunan anti-ICERD.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan mengadakan himpunan pro-hak asasi manusia di Petaling Jaya pada hari yang sama. Acara itu dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.