Hishammuddin saran agensi sertai jawatankuasa khas siasat Ops Yaman 2

Hishammuddin Hussein.

PETALING JAYA: Bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa khas Parlimen untuk pertahanan dan hal ehwal dalam negeri bagi menyiasat berkaitan Ops Yaman 2.

Beliau turut menyarankan agensi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Perisikan Luar Malaysia, Cawangan Khas dan Wisma Putra turut menyertai jawatankuasa terbabit.

“Panggil semua agensi MKN, penyelidikan, Cawangan Khas, Wisma Putra,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong bahawa jawatankuasa khas itu akan ditubuhkan bagi menyiasat isu berkaitan Ops Yaman 2.

Menurut Liew, siasatan akan menumpukan sama ada atur gerak prosedur operasi standard (SOP) dan aset ke Arab Saudi dalam Ops Yaman 2 mematuhi prosedur dan dalam sistem yang betul.

Hishammuddin turut membangkitkan persoalan kepada timbalan menteri pertahanan itu berkenaan strategi lautan biru untuk perumahan anggota tentera, kebajikan untuk veteran tentera, diplomasi ketenteraan, pelan untuk menaik taraf kem tentera, pelan untuk IS dan keselamatan Sabah.

“Jika tidak, saya juga boleh merujuk kepada perkara-perkara tersebut kepada jawatankuasa yang sama,” katanya.

Ditanya mengenai kerajaan akan melaksanakan program Sekolah Pemimpin Masa Hadapan bagi menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), beliau berkata: “Tukar nama sahaja. Tak ada perkara baru. Ini pun boleh bawa kepada jawatankuasa seperti apakah matlamat, implikasi kos dan keberkesanannya.”

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2019 bagi kementeriannya berkata program itu yang menggunakan konsep “summer camp” akan diadakan pada musim cuti sekolah.

Kementerian menyasarkan 60,000 belia berumur 15 hingga 17 tahun akan disaring daripada jumlah sejuta belia bersekolah, katanya.