Jihad hak asasi manusia di Malaysia

ISNIN depan, pada 10 Disember 2018 kita akan menyambut Hari Hak Asasi Manusia di peringkat antarabangsa buat kali ke 70. Ketepikan momokan yang dibuat oleh mimbar masjid dan penyokong rasisme yang menolak ICERD – jadi apakah hak asasi manusia?

Secara ringkasnya, ia adalah hak yang dimiliki oleh seseorang kerana dia (kita) seorang manusia.

Tujuan paling utama dalam gagasan hak asasi manusia moden seperti yang terpancar dalam The Universal Declaration of Human Rights 1948 (UDHR 1948) adalah untuk memperbaiki taraf dan keadaan hidup manusia biasa.

Oleh sebab itu, UDHR 1948 tidak sama sekali bertentangan dengan agama, mahupun budaya kita di Timur. Mereka yang menolak UDHR 1948, boleh kita katakan – mereka mahu melayan manusia lainnya – sebagai binatang.

UDHR 1948 menjamin hak-hak perseorangan yang wajib dijamin dalam masyarakat dan negara. Maruah kehormatan manusia dikongsi oleh semua tanpa mengira jantina, bangsa, status keturunan dan agama kepercayaan.

Terdapat juga tuntutan kesetaraan dari aspek politik, sosial dan ekonomi, selain kesetiakawanan nasional antara nusa bangsa.

Sudah tentu kita tidak mengatakan ia sempurna. Akan tetapi, dalam tempoh 70 tahun penggubalannya, ia mengalami proses kematangan dan proses pembaikan yang banyak untuk manfaat umat manusia.

Negara yang menyetujui UDHR juga menyatakan jaminan bahawa setiap warga negara beroleh keadaan dan layanan yang setara. Antara hak-hak di bawah kategori ini adalah hak untuk mendapatkan kediaman dan khidmat kesihatan, atau perlindungan dan keselamatan sosial dan juga jaminan manfaat ketika ketiadaan atau kehilangan pekerjaan (unemployment benefits).

Di Malaysia, gerakan untuk memartabatkan hak asasi manusia melalui jalan penuh liku dan belok yang amat melukakan.

Pada kesempatan ini, sempena ulang tahun ke 70 pengisytiharan Piagam Hak Asasi Manusia, saya ingin menyentuh 2 insiden jihad untuk memartabatkan hak asasi manusia.

Dua jihad untuk mendapatkan hak ini kurang diketahui oleh generasi sekarang kerana pertama, ia tiada dalam buku sejarah (Dr Maszlee Malik boleh menimbangkannya dalam buku sejarah kelak) kita.

Kedua, pemerintah meredam pengetahuan massa mengenainya sedangkan pendidikan hak asasi manusia adalah suatu memori yang mesti dipugar selalu-selalu.

Ketiga, tidak seperti hari ini, jihad dan fake-jihad (sebagai contoh himpunan anti ICERD) boleh ditularkan dengan senang.

Jihad pertama, perjuangan hak asasi manusia di Malaysia adalah bantahan atau gerakan anti radioaktif Bukit Merah. Hari ini, kawasan Bukit Merah di Perak mungkin lebih sinonim dengan pelancongan.

Akan tetapi tahukah anda satu masa dahulu, pada tahun 1985, operasi kilang Asia Rare Earth yang menghasilkan sisa radioaktif telah mendorong gerakan massa selama lebih satu dekad.

Penduduk di sekitar Bukit Merah mendakwa operasi kilang tersebut sebagai tidak selamat dan mengancam kesihatan.
Pakar luar negara, antara lain Dr Rosalie Bertell (penerima augerah Right Livehood Award) juga mengesahkan dakwaan ini.

Terdapat bukti penduduk mengalami sakit kronik kerana kesan radioaktif. Namun demikian, suara bising rakyat setempat telah jatuh ke telinga yang tuli. Penduduk sekitar Bukit Merah telah melawan di dalam dan luar mahkamah.

Antara tahun-tahun 1985 sehingga 1987 mereka menganjurkan siri demonstrasi untuk menuntut agar kilang tersebut menghentikan operasi dan ditutup sama sekali.

Akhirnya pada 12 April 1987, 20 ribu penduduk dari Bukit Merah, Menglembu, Lahat, Falim, Papan dan Taman Badlishah berarak sepanjang 3.5 kilometer selama lebih 2 jam.

Pada tahun yang sama, Pengerusi Perak Anti Radioactive Committee, Hew Yoon Tatt ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Kehampaan penduduk Bukit Merah berterusan apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan kilang tersebut beroperasi pada 23 Disember 1993.

Lebih 2,000 penghuni berhimpun di luar mahkamah dan terus mendesak agar kilang ini ditutup. Mereka juga melobi badan-badan bukan kerajaan dari Jepun (negara asal kilang A.R.E) yang akhirnya membawa kepada keaiban kepada pihak kilang.

Pada tahun itu juga, kilang tersebut akhirnya akur dan memilih untuk menghentikan operasi, meskipun mahkamah Malaysia sendiri pernah berpihak kepada mereka.

Jihad kedua perjuangan hak asasi manusia yang wajar disebut di sini adalah Perarakan Panjang Asahan 1967. Sudah tentu, pada era tiadanya media sosial untuk menjadikan satu-satu pencabulan hak asasi manusia itu ditular dengan lekas, pihak berkuasa boleh menindas orang bawah dengan mudah.

Pekerja-pekerja ladang Bukit Asahan, Melaka pada tahun 1967 telah dipecat beramai-ramai dan mereka diarahkan keluar dari ladang. Apa yang berlaku ialah mereka harus membawa sama keluarga yang tinggal sekali.

Pekerja hidup dalam kemiskinan dan terpaksa menoreh pokok getah lebih dari kadar biasa tanpa upah tambahan. Mereka tidak dibayar EPF, insuran, dan apa juga elaun.

Sebagai kumpulan tertindas mereka bertindak untuk keluar dari kemelut ini dengan menubuhkan Kesatuan Ladang Asahan pada bulan Mei 1966. Akan tetapi perjuangan mereka tidak didengari oleh Kementerian Buruh atau Sumber Manusia.

Ketua Menteri Melaka dan Ahli parlimen Asahan juga nampaknya menabur janji kosong.

Pada 25 Februari 1967, pekerja ladang dan keluarga telah melancarkan mogok. Pihak ladang yang mengalami kerugian telah menakut-nakutkan penduduk dan pekerja, dan menyebarkan dakwaan bahawa mogok ini didalangi oleh pihak kiri khususnya Parti Buruh, dan Parti Rakyat Malaysia.

Pada 23 Mac tahun tersebut, pihak polis telah masuk ke dalam ladang dan berlaku pertembungan. Pada 26 Mac, pihak FRU telah bertindak melepaskan gas pemedih mata dan memukul para pekerja dan ahli keluarga. Ramai yang cedera. Asahan malah telah diisytiharkan sebagai kawasan darurat.

Pada 14 April 1967, para pekerja ladang Asahan telah membuat keputusan untuk berjalan kaki dari Jasin ke Kuala Lumpur untuk menuntut perhatian Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman.

Protes berjalan kaki mereka diganggu polis, antara lain di pekan Kandang, dan pelbagai usaha dilakukan untuk menghalang pergerakan mereka. Pun mereka berjaya tiba di Melaka.

Sepanjang perjalanan mereka telah diberi kata semangat oleh penduduk kampung yang dilalui. Di pekan Tampin, mereka bermalam dan mendapat suntikan semangat daripada peguam Karam Singh.

Jumlah pekerja ladang Asahan bertambah di Seremban apabila pekebun dari Ladang Rriang ikut sama berarak menjadikan jumlah mereka sekitar 200 orang.

Apabila perarakan mereka tiba di Kajang, keadaan menjadi huru-hara dan pihak polis berjaya menahan 35 orang buruh. Selebihnya berlindung di Sungai Chua, dan kemudian meneruskan perjalanan sebelum bertembung dengan FRU di Batu 7, Cheras. Pihak polis menahan 49 orang lagi di sini.

Pada 21 April, baki pekerja, iaitu 4 orang yang gagal ditahan dan tiba di Kuala Lumpur dalam keadaan cedera telah menyerahkan memorandum kepada wakil Perdana Menteri (Tunku Abdul Rahman berada di luar negara tatkala itu).

Pada 27 April pula mereka menemui Menteri Sumber Manusia iaitu Manickavasagam. Pertemuan dengan pihak kerajaan ini nampaknya menyebabkan pihak ladang makin berkeras dan mengugut buruh. Pun, para pekerja bersatu hati dan di hujungnya, pada 8 mei 1967, mogok 75 hari ini berakhir dengan kemenangan di pihak pekerja.

Dua insiden jihad di atas menunjukkan gerakan hak asasi manusia adalah satu perjuangan yang melelahkan, menuntut kesabaran, kadang-kala bertakungan air mata dan bersimbahan darah. Hak wajib dituntut daripada kerajaan atau pihak berkuasa yang enggan memberi.

Sehingga 2010, meskipun kilang A.R.E telah menghentikan operasi di Bukit Merah, kesan radioaktif masih ada. Sementara 2019 ini kita hanya akan melihat kadar gaji minimum yang seragam bagi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak ditetapkan sebanyak RM1,050 sebulan dan RM5.05 sejam.

Sudah tentu, kita belum mencapai kesempurnaan dalam hak asasi manusia. Dr Mahathir telah menjadi perdana menteri buat kali kedua. Kita telah tunduk kepada golongan rasis untuk tidak meratifikasi ICERD.

Mereka ingin kita duduk dalam kumpulan bersama-sama Myanmar dan Israel yang menolak ICERD. Ketegangan kaum dan agama pula menjadi mudah untuk dinyalakan oleh satu umpanan kecil yang tidak pun diketahui asal punca.

Setelah 70 tahun masih banyak yang perlu kita perjuangkan. Masih banyak jihad yang belum terlaksana. Tetapi, berdasarkan 2 insiden jihad sebelumnya, iaitu di Bukit Merah dan Asahan, kita sebenarnya tahu – kita mesti memulai, bukan mempertikaikan – seperti yang dilakukan kaum toksik nasionalis dan Islamis.

Setelah 70 tahun UDHR 1948 dikompangkan, ada banyak lagi pencabulan hak asasi manusia di negara kita yang cuba didiamkan. Jihad penuh liku untuk membetulkannya mesti digerakkan hari ini.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.