Khutbah Jumaat ingatkan umat Islam tentang status Islam, institusi raja

Khutbah Jumaat meminta umat Islam tetap setia kepada raja selagi tidak melanggar syariah. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Khutbah Jumaat di Selangor hari ini mengingatkan umat Islam tentang status Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan, menggesa mereka tetap setia kepada raja, sehari sebelum perhimpunan kumpulan Melayu dan ahli politik di Kuala Lumpur yang menuduh kerajaan sekarang menjejaskan orang Melayu.

“Agama Islam mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sistem perundangan di tanah air kita,” menurut teks khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Islam adalah agama persekutuan dan DYMM Tuanku merupakan ketua agama Islam bagi negeri Selangor. Institusi Raja merupakan kesinambungan sejarah kepimpinan warisan negara dan lambang perpaduan ummah.”

Teks khutbah itu disediakan sempena ulang tahun ke-73 Sultan Selangor, Selasa ini.

Antara lain, ia menggesa umat Islam supaya setia kepada raja selama mereka tidak melanggar syariah.

“Hubungan mesra antara raja dan rakyat yang sudah sekian lama terjalin ini perlu dikekalkan. Raja merupakan tonggak bangsa Melayu dan lambang perpaduan masyarakat serta ketua agama Islam yang wajar kita
pertahankan,” kata khutbah itu.

Umno dan PAS, 2 parti Melayu-Islam terbesar negara ini yang membentuk satu pakatan longgar, menganjurkan satu perhimpunan “kesyukuran” yang akan diadakan esok bagi menunjukkan kekuatan di tengah-tengah dakwaan mereka bahawa kerajaan Pakatan Harapan menjejaskan orang Melayu.

Perhimpunan itu, yang disokong beberapa kumpulan sayap kanan Melayu dan Islam, pada awalnya membantah cadangan Malaysia untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang disahkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Mereka mendakwa ICERD akan menjejaskan kedudukan istimewa orang Melayu, termasuk peruntukan kuota di institusi awam, seperti yang dinyatakan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Putrajaya bulan lepas enggan mengumumkan ia tidak meratifikasi perjanjian itu, dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan kerajaan komited untuk mempertahankan perlembagaan.

Namun penyokong ICERD mengatakan ratifikasi perjanjian itu akan menjadi satu langkah ke hadapan untuk menunjukkan komitmen kerajaan bagi menghapuskan perkauman dan amalan diskriminasi.

Khutbah hari ini juga merujuk kepada Piagam Madinah, sebuah perjanjian bersejarah yang ditandatangani Nabi Muhammad pada zaman awal Islam yang berfungsi sebagai asas untuk memerintah Madinah.

“Semua pihak hendaklah bersikap terbuka, berlapang dada, berbaik sangka serta saling menghormati antara satu dengan yang lain,” menurut teks khutbah.