Kita perlu rai penentang, bukan melindungi rasuah, kata Dr M

Dr Mahathir bersama Emir Qatar, Tamim Hamad Al Thani (kiri) di perasmian Anugerah Kecemerlangan Anti Rasuah Antarabangsa.

PUTRAJAYA: Malaysia harus meraikan individu yang memerangi rasuah dan bukannya melindungi “perkara jijik” itu jika mahu setanding masyarakat maju lain, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata rasuah menyebabkan kerugian yang tidak dapat diperbaiki kepada masyarakat dan negara.

“Sekiranya kita mahu menyertai barisan negara maju, maka kita perlu mengambil rasuah secara serius. Kita tidak sampai ke sana dengan mengambil cara pintas untuk berjaya.

“Sudah tiba masanya Malaysia menyertai negara maju dan berkebolehan dan biarkan dunia tahu kita negara yang kuat, menghormati demokrasi dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam ucaptama merasmikan Anugerah Kecemerlangan Anti Rasuah Antarabangsa Sheikh Tamim Hamad Al Thani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Turut hadir Tamim bersama delegasi Qatar. Beliau adalah emir negara kecil itu, dan merupakan ketua negara termuda di dunia di usia 38. Negara Islam itu mempunyai pendapatan per kapita tertinggi di dunia, dan dilihat sebagai kuasa pertengahan di dunia Arab.

Dr Mahathir berkata rakyat hanya boleh menganggap diri mereka maju apabila masyarakat menolak rasuah dan menghentikannya.

“Adalah penting bagi kita untuk meningkatkan nilai dan piawaian kita tanpa mengira warna kulit atau kepercayaan. Inilah satu-satunya cara untuk memajukan Malaysia,” katanya.

Beliau juga mengingatkan rakyat tidak boleh berbangga dengan keadaan negara sebelum pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Dr Mahathir berkata kerajaan sekarang bertanggungjawab memastikan tadbir urus diperbaiki dan memperkenalkan inisiatif menamatkan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Ia harus dirawat dengan rasa jijik dan kemarahan (terhadap rasuah dana salahguna kuasa),” katanya.