Patriot gesa kerajaan siasat dakwaan sempadan ‘lompong’ di Sabah

Presiden Patriot, Arshad Raji berkata, tidak mustahil berlakunya korupsi yang menyebabkan kejadian itu berlaku.

PETALING JAYA: Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menggesa kerajaan menyiasat dakwaan pelancong memasuki dan meninggalkan Sabah tanpa melalui pemeriksaan di Jeti Menumbok dan Jeti Jesselton Point.

Presidennya Brig Jen (B) Datuk Mohd Arshad Raji berkata dakwaan itu, jika benar, kelompongan dalam kawalan sempadan negara, dan mahu kerajaan mendapatkan penjelasan daripada imigresen.

“Sah-sah ini merupakan kegagalan pasukan Imigresen. Kerajaan perlu masuk campur untuk mengawal kemasukan individu atau kumpulan ini ke tanah besar Sabah,” katanya ketika dihubungi FMT.

Isu ini pertama kali ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking di Dewan Rakyat pada 26 September 2017 semasa beliau seorang wakil rakyat pembangkang.

Beliau mendakwa dokumen perjalanan atau paspot pelancong yang memasuki Sabah melalui jeti di Menumbok tidak diperiksa sebelum mendarat dan melewati pos pengawal atau pemeriksaan kastam.

FMT mengubungi Darell dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman namun belum mendapat sebarang kenyataan perihal isu ini.

Arshad menggesa kerajaan menyiasat sama ada terdapat sindiket yang dilindungi rasuah terlibat dalam situasi itu.

“Tidak mustahil ada berlaku korupsi. Kalau ada masuk dana, maka berlakulah. Kesimpulannya, peringkat awal sekali sudah ada korupsi,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan tampil dengan kenyataan kuat terhadap rasuah, bagi memastikan keselamatan negara terjamin terutama di Sabah, yang sekian lama dihambat isu orang tanpa kerakyatan.

“Seluruh negeri itu terlibat dengan rasuah. Saya bukan nak tuduh, tapi begitu lah ‘budayanya’. Jadi kerajaan kena tampil beri kenyataan berhubung perkara ini,” katanya.