Pelajar sedia beri kerajaan masa di sebalik bantahan pinda Auku

Aktivis pelajar berharap pemansuhan Auku membenarkan mahasiswa bergiat aktif dalam politik. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Aktivis pelajar membantah tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), bagaimanapun mereka memahami pemansuhan akta itu akan mengambil masa.

Wong Yan Ke.

Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) Wong Yan Ke berkata mereka memahami KPM mengambil masa untuk memansuhkan Auku dan bersetuju memberi masa seperti dijanjikan Maszlee Malik untuk memansuhkannya pada 2020 nanti.

“Saya sokong mansuh terus sebab satu benda untuk autonomi mahasiswa. Kedua untuk kebebasan akademik.

“Kita tak nak universiti jadi tempat ‘yes man’ dan mahu ia jadi medan perbincangan akademik,” katanya dalam satu program aktivis pelajar dalam membincangkan pindaan Auku di KPM.

Beliau turut menyuarakan kekecewaan apabila peruntukan seperti Perkara 15A dan 16 akta itu masih tidak disentuh.

Katanya, peruntukan itu masih mempengaruhi autonomi pelajar dari segi kebebasan bersuara dan berpersatuan.

Beliau berkata Perkara 15A melarang badan pelajar daripada mengumpul dana dan mengakses serta menguruskan kewangan mereka sendiri, sementara prosedur untuk membuat tuntutan “terlalu rumit dan tidak cekap”.

Manakala, Perkara 16 memberi kuasa mutlak kepada lembaga universiti dan naib canselor untuk menentukan sama ada tindakan pelajar tidak sesuai atau merugikan universiti.

Selasa lalu, Rang Undang-Undang Auku (Pindaan) 2018 dibentangkan di Dewan Rakyat, bersama-sama 2 yang lain bertujuan membenarkan pelajar universiti menyertai aktiviti politik di kampus.

Sebelum itu, kerajaan menjangkakan pemansuhan atau pindaan Auku 1971 akan dapat selesai dilaksanakan pada Disember 2020, kata Kementerian Pendidikan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada 17 November lalu dilaporkan mengulangi komitmen kerajaan memansuhkan Auku, sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto PH pada pilihan raya umum ke-14.

Ahmad Suffian Mohd Dalizan.

Sementara itu, Ketua Perhubungan Mahasiswa Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin, Ahmad Suffian Mohd Dalizan berkata Auku bertentangan dengan demokrasi dan mengaibkan Malaysia.

Beliau berkata, harapannya selepas pemansuhan Akta itu, para mahasiswa dapat bergiat aktif dalam politik.

“Ini beri ruang untuk berfikir dan juga berlaku proses penimbaan ilmu secara drastik.

“Beberapa pimpinan politik daripada pembangkang dan kerajaan juga boleh masuk dalam universiti dan ini baik untuk kita dapat menilai ilmu itu,” katanya.

Manakala, Aktivis Adam Adli Abd Halim pula berkata, pemansuhan Auku perlu dilaksanakan walaupun memahami akta itu perlu mengambil masa dan dilakukan kajian.

Beliau berkata Auku diperjuangkan selama 40 tahun, dan bukannya 2 atau 3 tahun.

“Auku diperkenalkan sejak 1970 lagi dan sejak itu mahasiswa sudah bincangkan Auku.

“Kita dapat lihat hasil selepas tukar kerajaan. Saya harap pemansuhan ini jadi titik tolak kepada apa yang nak kita capai dalam konteks pelajar. Kalau tak mulakan hari ini, siapa lagi nak mansuhkan Auku,” katanya.