Perbicaraan pecah amanah Najib, Irwan pindah ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, yang berdepan 6 tuduhan pecah amanah membabitkan RM6.6 bilion dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pesuruhjaya Kehakiman Rozana Ali Yusof membenarkan permohonan tertuduh bawah Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Tarikh perbicaraan belum ditetapkan kerana dokumen berkaitan kes itu belum diserah kepada Mahkamah Tinggi.

Rozana berkata mahkamah akan memaklumkan tarikh sebutan kepada pendakwaraya dan pembelaan kelak.

Terdahulu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata anak guamnya memohon kes dipindahkan dari Mahkamah Sesyen untuk “percepatkan perbicaraan demi keadilan.”

Peguam Irwan, K Kumaraendran berkata anak guamnya tidak membantah pemindahan itu kerana ia perbicaraan bersama.

Timbalan pendakwaraya Jamil Aripin setuju perbicaraan diadakan di Mahkamah Tinggi.

Pada 25 Oktober lepas, Najib, 65, dan Irwan, 61, mengaku tidak bralah ata semua pertuduhan berkaitan 1MDB, projek Laluan Kereta Api Pantai Timur dan 2 projek talian paip di Semenanjung dan Sabah.

Najib dan Irwan didakwa melakukan semua kesalahan itu di kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Mereka didakwa bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika didapati bersalah.

Najib juga berdepan 21 tuduhan pengubahan wang dan 4 tuduhan salah guna kuasa berkaitan 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah ditetapkan selama 3 minggu bermula 15 April.

Ahli Parlimen Pekan itu juga berdepan 3 tuduhan pecah amanah dan 1 tuduhan salah guna kuasa dalam pemindahan RM42 juta dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International, ke dalam akaun banknya.

Dia juga dituduh dengan 3 tuduhan pengubahan wang berkaitan transaksi sama, bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Kesalahan-kesalahan itu didakwa dilakukan antara 24 Disember dan 29 Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan bermula pada 18 Februari.