Pesanan PM kepada peserta himpunan tolak ICERD

Perdana menteri mengajak semua orang bersama meraikan demokrasi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam tadi tampil dengan satu klip video dengan pesanan khas kepada para peserta himpunan tolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu negara esok.

“Bagi pihak kerajaan, jika perhimpunan diadakan atas dasar kesyukuran, kita mengucapkan terima kasih kerana sokongan yang ditunjukkan,” katanya dalam video di Facebook.

Beliau merujuk kepada keputusan kerajaan tidak mengesahkan perjanjian antarabangsa itu pada 23 November lalu.

Dr Mahathir berkata kerajaan tidak berhasrat menghalang atau menyusahkan pihak penganjur kerana ia bertentangan dengan dasar pentadbiran sekarang yang mendokong prinsip demokrasi.

“Cuma, satu sahaja permintaan kerajaan: penganjur perlu bantu pihak polis dan pihak berkuasa lain dalam memastikan tidak berlaku kekacauan atau pun kerosakan ke atas harta benda awam,” katanya.

Dr Mahathir juga menasihatkan para peserta supaya bersama kerajaan menjaga kebersihan dan jangan membuang sampah merata-rata.

“Saya doakan agar perhimpunan itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Marilah kita bersama-sama meraikan demokrasi,” katanya.