Polis siasat 4 nelayan hilang di Kinabatangan

4 nelayan dilaporkan hilang walaupun enjin bot itu masih hidup ketika ditemui. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Seorang tekong dan 3 nelayan dilaporkan hilang oleh seorang pemilik bot di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan pada 5 Dis iaitu hari yang sama kejadian serangan ke atas sebuah bot tunda oleh sekumpulan 4 lelaki di kawasan berhampiran.

Persuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata mengikut laporan itu, ketika ditemui di kawasan tersebut, enjin bot itu masih hidup namun tiada seorangpun berada di dalam bot berkenaan.

“Kita tidak tahu sama ada 4 orang ini diculik atau melarikan diri. Saya tidak berani menyatakan mereka diculik sehingga ada pengesahan. Cuma memang ada laporan diterima daripada syarikat bot nelayan yang mengatakan 4 pekerjanya hilang daripada bot,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah hari ini.

Omar berkata 2 daripada 4 nelayan yang berumur antara 19 hingga 40 tahun adalah warga asing manakala 2 lagi rakyat tempatan.

Katanya setakat ini pihaknya belum menerima panggilan dari mana-mana pihak meminta wang tebusan berhubung kehilangan 4 orang nelayan berkenaan.

Ketika ditanya mengenai perkembangan kes juragan bot tunda yang cedera ditembak 4 lelaki dalam cubaan rompakan di Peragus Reef pada petang hari yang sama, Omar berkata pihaknya masih menyiasat sama ada penyerang berkenaan datang dari arah daratan atau dari sempadan perairan negara jiran Filipina.

Bagaimanapun katanya bot laju 4 enjin yang digunakan suspek yang semuanya memakai topeng muka itu tidak sama dengan bot-bot yang digunakan penjenayah sebelum ini.

Pada kejadian itu, juragan sebuah bot tunda dikenali sebagai Didy Saviady, 40-an, yang dalam perjalanan ke Papua New Guinea dari Bintulu, Sarawak, cedera di peha kiri terkena tembakan yang dilepaskan 4 lelaki bersenjata dalam cubaan rompakan kira-kira jam 6.30 petang di perairan Peragus Reef.