PTPTN: Jangan malu ikut kaedah zaman BN, kata Shamsul

KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyarankan pentadbiran sekarang meneruskan kaedah bayaran balik pinjaman pendidikan yang digunakan di zaman Barisan Nasional.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah membuat cadangan itu selepas mendapati kerajaan Pakatan Harapan beberapa kali menghadapi kesukaran mengutip hutang pinjaman pendidikan.

Beliau berkata kaedah potongan gaji berjadual (PGB) yang dicadangkan kerajaan sekarang memudahkan urusan kutipan balik dan percaya ia mampu meningkatkan kutipan, tetapi sebaliknya pula akan menekan peminjam dan tidak mesra pelanggan.

Shamsul berkata PTPTN di zaman BN menyediakan pelbagai kaedah dan insentif menarik untuk menyakinkan peminjam membayar pinjaman mereka dan dalam masa yang sama menjadi kepentingan semua kumpulan peminjam.

“Dalilnya kutipan balik adalah RM3.4 bilion pada 2016 dan RM3.985 bilion pada 2017. Ia membantu mengurangkan sedikit kebergantungan PTPTN pada institusi kewangan dalam menyediakan dana kepada pelajar baharu.

“BN telah mewariskan suatu yang baik jadi usahlah malu untuk meneruskannya walaupun dulu mereka mengkritiknya,” katanya kepada FMT.

Shamsul berkata sistem potongan gaji berjadual memang sukar dilaksanakan di Malaysia berdasarkan kepada kajian ke atas negara-negara yang mengamalkan sistem itu, melainkan kerajaan sekarang sedia berdepan kritikan rakyat.

Beliau berkata sebelum ia boleh dilaksanakan, kerajaan terlebih dahulu perlu meminda peraturan-peraturan berkaitan dan mengadakan rundingan dengan majikan.

Namun selepas itu, pasti ada perbezaan jumlah gaji yang dipotong secara wajib itu dengan potongan gaji sukarela sebelum ini, katanya.

“Ia mewujudkan ketidakadilan kepada pelbagai pihak terlibat,” katanya, dan menambah pendekatan kerajaan terdahulu adalah kaedah potongan dibuat atas persetujuan peminjam.

Kerajaan hari ini mengumumkan rancangan PGB ditangguhkan sehingga Kementerian Pendidikan menerima input dan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan.