Sambutan hak asasi tangguh, Suhakam kecewa kerajaan dipengaruhi

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengumumkan sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 ditangguhkan, mengatakan ia kecewa kerajaan nampaknya dipengaruhi tekanan terhadapnya.

Pengerusi Tan Sri Razali Ismail berkata polis memaklumkan kepada Suhakam dan Pejabat Perdana Menteri bahawa akan ada risiko keselamatan serius yang timbul daripada acara esok, tanpa memberikan butiran risiko itu.

“Suhakam kecewa kerajaan yang komited kepada hak asasi manusia nampaknya dipengaruhi oleh taktik tekanan dan ekstremisme sehingga sambutan yang dirancang sejak beberapa bulan lalu terpaksa ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kami memohon maaf kepada orang ramai, tetamu, peserta dan sukarelawan yang terlibat dalam sambutan itu.

Suhakam berkata sambutan yang dijadualkan esok di Padang Timur, Petaling Jaya ditangguhkan ke satu tarikh yang ditentukan kelak.

Ia merupakan kali pertama Suhakam menganjurkan acara seumpamanya di kawasan terbuka, dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka melancarkan program itu.

Kebetulan, satu himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) akan berlangsung di ibu negara, anjuran NGO, Gerakan Pembela Ummah, dengan penglibatan Umno dan PAS.

Hari Hak Asasi Manusia disambut seluruh dunia pada 10 Disember setiap tahun.