Saya bukan tukar agama, kata Adun Guar Chempedak selepas sertai PPBM

Ku Abdul Rahman Ku Ismail menyertai PPBM pada Isnin lepas. (Gambar Facebook)

ALOR SETAR: Adun Guar Chempedak Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail, yang sebelum ini mengumumkan keluar Umno dan menjadi Adun bebas, menyertai PPBM.

Menurut bekas exco kanan yang berusia 62 tahun itu, beliau menghantar borang permohonan untuk menyertai parti itu Isnin lepas dan diluluskan serta diberikan nombor keanggotaan PPBM sehari selepas itu.

Katanya, keputusan menyertai PPBM dibuat kerana merasakan parti yang baru berusia 2 tahun itu mempunyai kekuatan tersendiri dan hala tuju yang jelas di bawah kepimpinan pengerusinya yang juga perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di peringkat pusat dan timbalan presidennya Datuk Seri Muhkriz Tun Mahathir di peringkat negeri.

Beliau juga menafikan tindakannya itu sebagai satu pengkhianatan kepada rakyat di kawasannya atau parti lama, Umno, dan merasakan PPBM mampu memperjuangkan agenda agama, bangsa serta tanah air.

“Kalau kita buat sesuatu yang buruk, rosakkan ekonomi negara, ambil duit negara…itu dinamakan pengkhianatan…saya bukan tukar agama tukar parti saja, landasan perjuangan tetap sama tidak berubah,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Ku Abdul Rahman juga menjelaskan beliau tidak ditawarkan sebarang jawatan untuk menyertai PPBM dan meminta semua pihak menghentikan polemik mengenainya, sebaliknya menumpukan kepada usaha membangunkan rakyat dan negeri ini.

“Sekurang-kurangnya dengan keputusan yang saya buat, saya berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah lebih stabil dengan bilangan kerusi DUN sekarang,” katanya.

Pada 12 Nov lalu, Ku Abdul Rahman melalui Speaker DUN Kedah, Datuk Ahmad Kasim, mengumumkan keluar Umno dan menjadi ADUN Bebas ketika sidang DUN ke-14, selepas 45 tahun bersama Umno.

Keputusan Ku Abdul Rahman menyertai PPBM itu menjadikan PH Kedah ketika ini sudah mempunyai majoriti mudah di dalam DUN dengan 19 kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi DUN.

Ia sekali gus menyebabkan Barisan Nasional melalui Umno hanya tinggal 2 kerusi DUN, dengan 15 kerusi lagi dimiliki PAS.