Saya tak terlibat, kata Abu Kassim tentang pinda laporan audit 1MDB

Bekas ketua pesuruhjaya Abu Kassim Mohamed berkata SPRM melancarkan siasatan kerana laporan audit 1MDB tidak diterbitkan.

PUTRAJAYA: Tan Sri Abu Kassim Mohamed hari ini berkata dia tidak terlibat langsung dalam meminda laporan audit 1MDB.

Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata sebaliknya badan anti-rasuah itu cuba mendapatkan laporan asal Jabatan Audit Negara.

“Apa yang saya buat adalah jumpa ketua audit negara dan ada aktiviti yang mereka cuba memberitahu kita, bahawa laporan itu tidak diterbitkan, dan sebab itu kita melangkauinya dan buat siasatan,” katanya kepada pemberita.

Abu Kassim ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Anti Rasuah Antarabangsa Sheikh Tamim Hamad Al Thani hari ini ditanya adakah dia menyedari terdapat pindaan dalam Laporan Akhit Pengauditan 1MDB.

“Kita akan buat sidang media Isnin depan. Kita boleh beri maklumat tentang itu,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Mohamad mengatakan pindaan dibuat ke atas Laporan Pengauditan 1MDB atas arahan Najib dan bekas ketua setiausaha sulitnya, Tan Sri Shukry Salleh, antara lain.

Madinah dalam kenyataan 24 November juga berkata ahli perniagaan Low Taek Jho turut menghadiri mesyuarat lembaga pengarah 1MDB dan satu perenggan mengandungi 2 versi penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014 dikeluarkan.

Sebelum ini, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad menafikan dia terbabit dalam meminda laporan itu.