Suhakam umum Ahad hari sambutan hak asasi

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengumumkan sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 ditangguhkan ke Ahad.

Pengerusi Tan Sri Razali Ismail berkata sambutan yang sepatutnya diadakan esok tapi ditangguhkan atas faktor keselamatan itu akan diadakan di lokasi dan masa yang sama, iaitu Padang Timur, Petaling Jaya dari 9.00 pagi ke 3.00 petang.

“Suhakam tak perlu kebenaran mana-mana pihak termasuk pihak polis untuk melakukan aktiviti kemanusiaan dan juga sambutan Hari Hak Asasi Manusia yang ditangguhkan kerana faktor keselamatan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berharap perdana menteri akan sudi meraikan sambutan hari antarabangsa itu bersama mereka.

Terdahulu, Razali dalam kenyataan hari ini berkata polis memaklumkan kepada Suhakam dan Pejabat Perdana Menteri bahawa akan ada risiko keselamatan serius yang timbul daripada acara esok, tanpa memberikan butiran risiko itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka melancarkan program itu.

“Suhakam kecewa kerajaan yang komited kepada hak asasi manusia nampaknya dipengaruhi oleh taktik tekanan dan ekstremisme sehingga sambutan yang dirancang sejak beberapa bulan lalu terpaksa ditangguhkan,” katanya.

Kebetulan, satu himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) akan berlangsung di ibu negara, anjuran NGO, Gerakan Pembela Ummah, dengan penglibatan Umno dan PAS.

Hari Hak Asasi Manusia disambut seluruh dunia pada 10 Disember setiap tahun.