Sultan Selangor dukacita dikaitkan dengan himpunan tolak ICERD

Istana Selangor meminta rakyat tidak terpengaruh dengan berita palsu.

SHAH ALAM: Sultan Selangor kesal dan dukacita dengan kenyataan tersebar di media sosial serta Whatsapp yang mengatakan Sultan Sharafuddin Idris Shah akan menyertai perhimpunan “kesyukuran” kerajaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Kuala Lumpur esok.

Setiausaha Sulit Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin memerintahkan supaya mana-mana pihak tidak melibatkan namanya dengan mana-mana perhimpunan anjuran parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini ketika merujuk kepada kenyataan berbunyi: “Sultan Johor, Pemangku Sultan Pahang, Sultan Selangor turun Himpunan ICERD 8-12-2018 bersama anak Melayu Bumiputera”, yang tular di laman Twitter seorang pengguna.

“Kenyataan seperti ini boleh mengelirukan masyarakat. Sultan Selangor sebagai sultan yang memerintah negeri Selangor tidak seharusnya dilibatkan dengan sebarang perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Menurut Munir, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan berita-berita palsu seumpama ini.