Dari UHT, penuh krim, susu skim, hinggalah ke rendah lemak. Pilihannya pelbagai, begitu juga dengan khasiatnya.

Jika masih ada yang keliru mana satu jenis susu yang anda dan keluarga anda perlukan, senarai dibawah mungkin dapat membantu.

7 jenis susu yang biasa dijual dipasaran:

1 Susu penuh krim/ Full cream milk

Susu penuh krim atau full cream milk mengandungi peratusan lemak yang paling banyak, iaitu sekitar 3.8% secara purata. Disebabkan kandungan lemaknya, susu ini memiliki rasa yang paling lazat berkrim.

Walaupun ramai yang ‘takut’ dengan lemak, namun susu inilah yang paling sesuai untuk anak kecil kerana mereka memerlukan kandungan asid lemak yang terkandung di dalamnya bagi perkembangan optimum tubuh.

Selain itu, susu jenis inilah yang sesuai digunakan untuk dicampurkan ke dalam kopi untuk menghasilkan kopi susu ala barista.

2 Susu rendah lemak/ low fat milk

Seperti mana namanya, susu rendah lemak atau low fat pula mengandungi kurang lemak di dalamnya, iaitu sekitar 1.3% hingga 1.4%.

Susu low fat lebih sesuai bagi anda yang dalam proses mengurangkan berat badan kerana ia membantu mengurangkan kadar lemak tepu di dalam tubuh.

3 Susu skim/ skim milk

Satu lagi jenis susu yang mungkin kita kurang tahu adalah susu skim atau skim milk. Ia memiliki jumlah lemak yang paling rendah berbanding susu low fat dan susu full cream, iaitu sekitar 0.15% sahaja.

Jika dibandingkan dengan keduanya tadi, susu skim ini rasanya lebih cair. Namun, ia tetap mengandungi protein dan kalsium seperti susu biasa.

4 Susu UHT

Kebanyakan jenis susu kotak yang terdapat di pasaran adalah jenis UHT, iaitu Ultra High Temperature yang merujuk kepada proses yang digunakan untuk merawatnya.

Berbanding susu segar, susu UHT mengalami proses pemanasan pada suhu yang lebih tinggi, iaitu pada takat 135 darjah Celsius selama 1-2 saat bagi tujuan pensterilan. Dengan proses ini, jangka hayat susu dapat bertahan sehingga 5-10 bulan tanpa disimpan di tempat sejuk kecuali setelah ia dibuka.

Terdapat juga susu UHT yang dihasilkan melalui proses rekombinasi atau campuran semula (UHT recombined milk). Ini bermaksud susu tersebut akan dikeringkan menjadi pepejal dan diasingkan kepada serbuk lemak dan pepejal susu sebelum dikombinasikan semula di kilang dan dirawat.

5 Susu segar/ fresh milk

Susu segar atau fresh milk ini boleh dijumpai di bahagian sejuk beku pasaraya. Berbanding susu UHT yang diletakkan di rak kering, susu segar ini mempunyai tarikh luput yang lebih cepat, biasanya kurang daripada seminggu.

Namun dari segi nutrisinya, ia adalah yang lebih baik berbanding susu UHT.

Susu segar yang dijual di pasaraya telah melalui proses pempasteuran bagi memastikan keselamatan pengguna. Proses ini melibatkan pemanasan melebihi 72 darjah Celsius selama sekurang-kurangnya 15 saat bagi membunuh bakteria yang terdapat dalam susu.

6 Susu tepung

Susu tepung diperbuat daripada susu segar yang telah melalui proses pengeringan menjadi bentuk serbuk yang mudah disimpan, senang dibawa ke mana-mana dan tahan lama.

Seringkali susu tepung ditambah dengan zat tertentu seperti vitamin dan mineral bagi meningkatkan kualitinya. Bagi susu formula contohnya, ia dilengkapkan dengan pelbagai formulasi agar sesuai dengan peringkat usia bayi yang memerlukan nutrisi khusus seperti DHA dalam menjamin perkembangannya.

7 Susu berperisa

Susu berperisa adalah susu yang telah dicampurkan dengan bahan tambahan seperti gula, perisa, pewarna dan kondisioner makanan yang dibenarkan.

Sedap memang sedap, tetapi anda harus berhati-hati dengan kandungan gula yang terdapat di dalamnya.