Jika mahu bawa keluarga ke Europe mesti belanja besar. Tidak mengapa, anda boleh pilih untuk jelajah Malaysia! Negara kita juga punya banyak tempat unik dan indah untuk anda lawati.

Cuti sekolah masih panjang, sempat lagi sekiranya anda mahu bawa anak-anak melawat serata Malaysia. Bukan apa, disamping dapat mencipta ‘bonding time’ dengan keluarga, anda juga dapat meyemat rasa cintakan negara pada mereka. Hargai keindahan negara sendiri, pasti hebat.

FMT ohsem cadangkan 8 tempat untuk anda dan keluarga bersantai musim cuti ini.

Taman Negara Pahang

Bagi pencinta alam semulajadi, letakkan Taman Negara Pahang dalam bucketlist anda yang dikenali sebagai salah satu hutan hujan tropika tertua.

Jangan lepaskan peluang untuk menikmati pemandangan indah dari The Canopy walk.

Taman Negara Gunung Mulu

Jika anda berpeluang bercuti ke Borneo, jangan lupa singgah ke sini kerana taman negara ini merupakan tapas Warisan Dunia UNESCO. Kecantikan landskap di sini akan membuatkan anda berasa kagum. Pemandangan sangat menakjubkan dikelilingi gaung, laluan gua, sungai liar, hutan hujan lebat dan di tengahnya merupakan Gunung Mulu.

The Pinnacles adalah siri pembentukkan batu kapur yang tinggi dengan laluan curam dan tumbuhan orkid yang cantik dan jarang ditemui.

Pulau Sipadan

Bagi peminat keindahan alam laut pilihan palingtepat adalah Pulau Sipadan.

Dengan 13 tapak menyelam utama, Sipadan adalah tempat yang sempurna untuk penyelam.

The Blue Mansion, George Town

Peminat swafoto, anda bolehlah ke George Town. Pastikan anda menerokai Blue Mansion yang indah di Cheong Fat Tze, yang terkenal dengan warna biru yang menarik.

Rumah indah ini dibina pada tahun 1880. Ia mempunyai 220 tingkap dan dikatakan sebagai hadiah dari saudagar kepada isterinya.

Tasik Kenyir

Tasik Kenyir merupakan salah satu tasik tiruan terbesar di Asia Tenggara. Pada pandangan pertama, Tasik Kenyir mungkin kelihatan membosankan tetapi mempunyai seribu keunikan dengan caranya tersendiri.

Disini anda boleh melawat air terjun dan juga memancing. Tasik ini merupakan pengalaman yang luar biasa bagi mereka yang sukakan cabaran. Pastikan tempat ini di dalam senarai percutian anda. Pasti berbaloi!

Taman Endau Rompin

Walaupun ramai rakyat Malaysia memilih hotel butik dan kafe sebagai aktiviti hujung minggu, masih ada yang suka meluangkan masa menuju ke Taman Negara Endau Rompin.

Hutan hujan yang kaya dengan hidupan liar tropika boleh diakses dengan mudah dan sangat mengagumkan.

Tempat ini boleh dikatakan kawasan tersembunyi bagi pencinta alam. Terdapat beberapa air terjun yang besar di Endau Rompin serta beberapa jeram yang menarik jika anda seorang yang berani dan sukakan cabaran.

Air sungai yang sejuk juga merupakan terapi terbaik bagi menghilangkan tekanan bagi anda yang datang dari kota.

Taman Negara Bako

Jika anda berpeluang terbang ke Sarawak, apa kata singgah ke taman negara Malaysia yang tertua di sini dan saksikan sendiri keunikan flora dan faunanya.

Antara yang menarik anda boleh temui adalah tumbuhan periuk karnivor dan monyet spesies ekor panjang. Pengalaman dekat dengan alam semulajadi ini hanya di Taman Negara Bako.

Hutan Hujan Belum

Melangkah ke tempat ini seolah-olah anda berada di dunia lain kerana hutan hujan ini mempunyai aura tarikannya tersendiri. Bagi pencinta alam semula jadi, Rizab Hutan Hujan Belum menawarkan banyak flora dan fauna yang kebanyakannya datang dari spesis jarang ditemui.