Venezuela meterai perjanjian pelaburan emas, minyak dengan Rusia

Berikutan kemerosotan pengeluaran minyak, hyperinflasi dan kemerosotan ekonomi yang masuk tahun ke-5, Maduro pergi ke Moscow untuk bertemu rakan sejawatan beliau, Vladimir Putin. (Gambar AFP)

CARACAS: Venezuela menandatangani beberapa perjanjian pelaburan Rusia dalam sektor minyak dan emas di negara Amerika Selatan itu, kata presiden Nicolas Maduro bersempena lawatan 3 harinya ke Moscow.

“Kami telah memeterai kontrak bagi menjamin pelaburan lebih AS$5 bilion dengan rakan kongsi dari Rusia dalam usaha sama bagi meningkatkan pengeluaran minyak,” kata Maduro dalam satu klip video yang disiarkan di akaun Twitter beliau.

“Kami juga menjamin pelaburan sebanyak AS$1 bilion untuk sektor perlombongan, terutamanya emas.”

Maduro tidak mengemukakan perincian mengenai tempat di mana pelaburan itu akan dibuat atau jumlah wang yang disumbangkan oleh pihak Rusia. Kementerian Penerangan dan Minyak negara itu juga tidak menjawab pertanyaan tentang perincian tambahan.

Berikutan kemerosotan pengeluaran minyak, hyperinflasi dan kemerosotan ekonomi yang masuk tahun ke-5, Maduro pergi ke Moscow Isnin lepas untuk bertemu rakan sejawatan beliau, Vladimir Putin.

Mereka merancang untuk mengadakan perbincangan mengenai bantuan kewangan bagi membantu Caracas dan memulakan kerjasama dalam sektor minyak dan gas, kata pegawai di Moscow.

Rusia menjadi peminjam utama kepada Venezuela beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi kerajaan Maduro menghadapi kesukaran untuk membayar balik hutangnya. Ketua syarikat minyak Rusia, Rosneft, terbang ke Caracas bulan lepas berhubung kelewatan penghantaran minyak bertujuan membayar balik hutang.

“Rusia dan Venezuela lebih rapat sekarang daripada sebelum ini” kata Maduro.

Beliau juga merancang meningkatkan pengeluaran emas negara itu sebagai sumber kewangan alternatif, susulan kemerosotan hasil minyak yang mewakili lebih 90% daripada eksport Venezuela.

Amerika Syarikat cuba mengehadkan perdagangan emas Venezuela melalui sekatan ekonomi.

Berikutan kemerosotan pengeluaran minyak, hyperinflasi dan kemerosotan ekonomi yang masuk tahun ke-5, Maduro pergi ke Moscow untuk bertemu rakan sejawatan beliau, Vladimir Putin.