Veteran Umno beri jaminan himpunan tolak ICERD aman

Tajuddin Rahman berkata mereka hanya mahu berterima kasih kepada kerajaan kerana tidak mengesahkan ICERD.

PETALING JAYA: Di malam perhimpunan tolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Kuala Lumpur, 2 pemimpin veteran Umno beri jaminan ia akan berlangsung secara aman.

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman yang juga pengarah perhimpunan itu berkata tiada sebab untuk mana-mana orang bertindak di luar batas.

“Ia akan berlangsung secara aman. Kami hanya mahu berterima kasih kepada kerajaan kerana tidak meneruskan rancangan mengesahkan ICERD.

“Himpunan itu juga satu cara mendesak kerajaan untuk tidak membuat pusingan U dalam isu itu di masa depan,” katanya merujuk perjanjian antarabangsa yang menjadi kontroversi itu.

Beliau berkata ribuan dijangka turun kerana dia mengurus publisiti perhimpunan itu.

“Saya maklumkan pada semua ahli Umno. Mereka akan datang sendiri. Mereka teruja untuk menyokong perjuangan ini.

“Mereka rasa ia relevan kepada mereka,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim berkata tiada sebab untuk peserta menjadikan himpunan itu tidak terkawal.

“Kita nak lawan siapa di perhimpunan itu? Semuanya turun untuk sebab yang sama.”

Beliau berkata bangsa Melayu bukan bangsa yang agresif dan sangat penyabar dan bertolak ansur.

“Anda boleh jangkakan perhimpunan yang aman. Orang Melayu tahu mereka perlu bersatu. Mereka berpecah ketika ini dan itu tidak bagus untuk ekonomi,” kata Shahidan kepada FMT.

Beliau berkata para peserta akan mendengar ucapan daripada Umno, PAS dan NGO terlibat.

“Itu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FUR) yang secukupnya akan diatur untuk menjaga kotaraya.

“Kita mempunyai jumlah anggota secukupnya di lapangan esok. Mereka akan bersedia untuk menghindarkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya kepada FMT.

Beliau menambah 6 laluan di ibu negara akan ditutup bermula 6.00 pagi, iaitu Jalan Jalan Hishamuddin, Jalan Leboh Pasar, Jalan Tun Perak, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Bulatan Datuk Onn.

PAS, Umno dan NGO Melayu-Islam menganjurkan himpunan esok walaupun kerajaan mengumumkan ia tidak akan mengesahkan ICERD.

Sebelum ini, himpunan maruah Melayu pada 2015 anjuran pemimpin Umno, Datuk Seri Jamal Yunos menyaksikan pertembungan antara penunjuk perasaan dan polis.