Ahli akademik dedah masalah struktur dalam industri padi

Pakar ekonomi Universiti Malaya, Dr Fatimah Kari.

PETALING JAYA: Pesawah padi masih merupakan kumpulan paling terpinggir dan menunjukkan kadar kemiskinan paling tinggi dalam masyarakat, walaupun menerima pelaburan besar daripada kerajaan dalam bentuk subsidi dan latihan.

Pakar ekonomi dari Universiti Malaya dan felo Institut Hal-ehwal Demokrasi dan Ekonomi, Dr Fatimah Kari berkata, sebahagian masalah itu berpunca daripada struktur pasaran yang tidak adil dalam rantai perbekalan industri berkenaan.

“Berdasarkan pengiraan yang saya buat, indeks ‘rent-seeking’ dalam industri ini sangat tinggi iaitu kira-kira 1.8, menghampiri 2,” katanya kepada FMT dalam satu temu bual eksklusif selepas majlis pelancaran laporan beliau.

Kata beliau, ini bermakna bagi setiap RM1 yang diterima petani, syarikat besar seperti Padiberas Nasional Bhd (Bernas), pengedar dan peruncit akan menerima jumlah serupa tanpa perlu berhadapan dengan faktor risiko, menanggung kos atau mengeluarkan tenaga perburuhan yang sama seperti yang ditanggung oleh petani.

“Apa-apa juga hasil yang didapati petani turut dihasilkan di pusat pengagihan atau syarikat besar dalam rantai perbekalan yang menghadapi profil risiko berbeza tetapi lebih lunak,” tambah beliau.

Laporan beliau menggambarkan beban yang terus ditanggung petani dalam suasana kemajuan serta pembangunan teknologi dan ketidaktentuan ekonomi.

Dapatan lain beliau termasuklah subsidi kerajaan selalunya tidak mencapai sasaran, dan petani kekal sebagai pengeluar semata-mata dan tidak berkembang menjadi pemain penting dalam pasaran.

Bercakap tentang Bernas secara khusus, Fatimah berkata, indeks “rent seeking” itu bermakna Bernas mendapat 100% daripada modal petani.

“Lebih buruk, dalam konteks Bernas, anda bercakap tentang tingkah-laku ‘rent seeking’ mereka bukan sahaja dari sudut kawalan import, tetapi juga kawalan input.”

Bernas merupakan pengimport beras utama di Malaysia. Ia juga mengeluarkan lebih 30% hasil padi, bersamaan dengan 800,000 metrik tan beras.

Ia juga berperanan sebagai pemborong persendirian, pengedar dan pengilang padi.

Bernas turut memiliki saham dalam “pasaran input” kepada industri padi, iaitu pasaran yang menjual baja, benih dan keperluan pertanian lain, katanya.

Beliau berkata, pengiraan indeks ‘rent seeking’ Bernas turut meliputi semua keuntungan yang diperolehinya daripada pengimportan dan pengeluaran padi.

“Itulah nilai ‘rent seeking’ mereka dan perlu difahami bahawa mereka tidak berhadapan dengan risiko yang sama seperti petani,” katanya dan menambah bahawa petani merupakan kelompok yang perlu turun ke sawah, membayar upah pekerja dan menggunakan sumber mereka sendiri.

Bagaimanapun ketua pegawai eksekutif Bernas, Mohamed Yusoff, yang percaya perlunya wujud bentuk monopoli tertentu, dalam satu sidang akhbar Julai lepas berkata, Bernas tidak bermatlamatkan “keuntungan monopolistik”.

“Bertentangan dengan kepercayaan umum, Bernas tidak meraih keuntungan monopolistik,” katanya.

Memetik data, Mohamed berkata, margin keuntungan Bernas sedikit, iaitu antara 0.4 ke 1.8% sepanjang tempoh 3 tahun terakhir.

Katanya, pulangan ekuiti (ROE) Bernas atau aset bersih atau aset tolak liabilitinya adalah sebanyak 4.9% pada 2017.

“Bandingkan angka itu dengan syarikat barangan pengguna seperti Dutch Lady Milk Industries atau Nestle (M) Bhd yang menikmati ROE lebih 100% pada tahun itu.”

Pesawah padi merupakan kumpulan masyarakat paling terpinggir dan paling miskin. (Gambar Bernama)

Pecahkan monopoli

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini memaklumkan akan mengkaji semula penguasaan Bernas berkaitan lesen mengimport beras milik syarikat itu.

Laporan Fatimah menyebut, “walaupun dengan pengumuman rasmi kerajaan itu, pemilikan badan tersebut terus dikuasai oleh personaliti dominan tertentu.

Okt lepas, akhbar The Edge melaporkan Menteri Pertanian Datuk Salahuddin Ayub berkata, kerajaan akan mengambil alih peranan Bernas selepas tempoh konsesinya tamat pada 2021.

Fatimah berkata, usaha mesti dilakukan bagi memecahkan monopoli dan membuka persaingan dengan pemain lain – pengimport, pemborong besar dan pengilang – yang sama berkemampuan dan berpengetahuan tentang pasaran.

Beliau berkata, “pemain lain” itu mesti turut terdiri daripada petani sendiri.

“Petani sendiri mestilah termasuk dalam rantai perbekalan, jika tidak monopoli tersebut akan menggugat keseluruhan pasaran.”

Kata beliau, petani boleh bernaung di bawah sebuah koperasi atau sejumlah pedagang atau pengilang kecil, yang boleh mengawal sebahagian daripada pasaran.

“Sukar diterima Bernas wujud untuk membantu petani kerana jika petani menjadi pengeluar utama, maka ia akan memberi kesan ke atas saham pasaran mereka dalam industri padi yang diperolehi daripada pengimportan beras” katanya.

Fatimah mengakui model sedia ada Bernas bertujuan membantu petani, tetapi berkata, ia tidak berkesan.

“Selepas beberapa tahun mengamalkan model ini, ia tidak berkesan. Petani terus terbeban.”

Beliau mengesyorkan supaya Bernas diubah bagi mencerminkan realiti petani di akar umbi, dengan menambah bahawa kelompok itu terus miskin sama seperti keadaan mereka 20 atau 30 tahun lepas.

Krisis makanan

Pada 2008 sewaktu Malaysia berhadapan krisis makanan katanya, Bernas secara automatik membuat keputusan untuk tidak akan menambah import beras mereka.

Dari 2007 ke 2008, harga beras meningkat berikutan sekatan eksport oleh negara pengeluar beras utama seperti India dan Vietnam, selari dengan pembelian panik oleh negara pengimport beras seperti Filipina.

Ini mengakibatkan harga beras dunia naik dari 117 ke 149% pada suku pertama 2008.

Fatimah berkata, hakikat bahawa Bernas mempunyai autonomi dan kuasa membuat keputusan sedemikian melahirkan struktur pasaran yang terdedah kepada masalah.

Kata beliau, keadaan ini mengancam sekuriti makanan dan tahap sara diri negara – yang merujuk kepada kemampuan negara mengeluarkan makanan keperluan sendiri.

Laporan Fatimah dipetik dalam laporan Institut Penyelidikan Khazanah 2018, yang membangkitkan kebimbangan tentang isu sekuriti makanan dan kemampuan sara diri Malaysia dalam pengeluaran beras berikutan kos pengeluaran yang tinggi, kapasiti pengeluaran yang terhad dan pergantungan pada import.