Dr M: Saya tak hadir sambutan hak asasi kerana kerajaan tolak ICERD

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menghadiri sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 esok kerana Putrajaya sudah menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Perdana menteri berkata, mustahil untuknya menghadiri sambutan anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) itu yang memperjuangkan ICERD kerana ia bertentangan pendirian kerajaan.

“Saya dah putuskan yang kita (kerajaan) tidak akan menerima ICERD, tetapi Suhakam mahu menerima ICERD, jadi takkan saya nak pergi?” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir akan menyampaikan ucaptama pada sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 di Padang Timur, Petaling Jaya, yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Bagaimanapun, Suhakam kemudiannya menangguhkan sambutan itu ke esok bagi mengelakkan ia bertembung dengan perhimpunan kesyukuran sempena kerajaan menolak ICERD di ibu negara, petang ini.

Dr Mahathir berkata, sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 ditangguhkan atas beberapa alasan kukuh.

“Ia tentang perpecahan saluran demonstrasi. Polis perlu mengagihkan pegawai mereka ke 2 tempat nanti. Memandangkan himpunan hari ini ada ramai peserta, jadi kami suruh himpunan itu (anjuran Suhakam) ditunda supaya pegawai polis tidak tertekan.

Mengenai pilihan raya kecil (PRK) Rantau dan Cameron Highlands yang bakal diadakan, perdana menteri berkata, PH sebulat suara menurunkan calon daripada parti sama yang bertanding di kedua-dua kerusi itu pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“PH bersetuju kita akan mencalonkan parti yang sudah dicalonkan di tempat itu sebelum ini. Tapi orang tak pasti lagi, parti tetap sama,” katanya sambil menambah 2 calon itu akan bertanding menggunakan logo PH.

Pada plihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, PH meletakkan calon PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri Rantau, manakala DAP bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan PRK Rantau perlu diadakan serta-merta berikutan kemenangan penyandang, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi itu adalah tidak sah dan terbatal.

Ia selepas calon PKR, Dr Streram Sinnasamy tidak dibenarkan bertanding dalam PRU14 kerana tiada pas Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memasuki pusat penamaan calon, pada 28 April lalu, menyebabkan calon Barisan Nasional (BN) itu diumumkan menang tanpa bertanding kerusi itu.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon BN, Datuk C Sivarraajh di Cameron Highlands selepas terbukti wujud kegiatan membeli undi besar-besaran seperti didakwa calon DAP, M Manogaran.