Dr M yakin pertikaian maritim, ruang udara akan selesai dengan baik

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Malaysia dan Singapura mampu berbincang dan menyelesaikan pertikaian berhubung sempadan maritim dan ruang udara dengan baik.

Minggu lalu, Singapura mendakwa kapal kerajaan Malaysia berulang kali menceroboh perairan wilayah Singapura, berikutan peluasan had Pelabuhan Johor Bahru pada 25 Oktober lalu.

Semalam, Putrajaya mencadangkan kedua-dua negara berhenti menghantar aset ke kawasan dipertikaikan, berkuatkuasa hari ini sementara menunggu perbincangan isu sempadan laut yang belum selesai.

Hari ini, Dr Mahathir mengalu-alukan kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura yang “bersedia membincangkan isu ini dengan Malaysia secara konstruktif dalam semangat memelihara hubungan dua hala penting kita”.

“Yang penting ialah Singapura bersetuju untuk berunding. Sehingga kita selesai dengan rundingan, kita tidak boleh memberikan jawapan akhir,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Menara Yayasan Selangor hari ini.

Mengulas kebimbangan mengenai hubungan Malaysia-Singapura yang tidak berada di tahap baik, perdana menteri berkata: “Ramai orang mengumumkan sempadan mereka dan menyebabkan pertikaian, tetapi kami akan selesaikannya (berdasarkan) peruntukan undang-undang dan hak kami.”

Awal bulan ini, Putrajaya mengumumkan peluasan had Pelabuhan Johor Bahru dan tindakan itu menimbulkan kemarahan Singapura yang mendakwa Malaysia bertindak sendirian serta kapal Malaysia turut menceroboh perairannya.

Dr Mahathir kemudiannya dilaporkan berkata, peluasan had pelabuhan Johor Bahru baru-baru ini tidak “menyentuh” sempadan Singapura.

Negara itu bertindak balas dengan memperluaskan had Pelabuhan Singapura di luar Tuas berkuatkuasa 6 Disember lalu, dan Putrajaya membantah tindakan berkenaan.

Penjawat awam jadi mangsa 

Dr Mahathir mengakui keputusan kerajaan PH membubarkan beberapa agensi selepas memenangi pilihan raya umum ke-14 menyebabkan ramai penjawat awam tidak bersalah kehilangan pekerjaan.

“Memang ramai jadi mangsa atas tindakan kita, kita akan ambil perhatian sebab mereka tak terlibat dalam politik, tapi hanya menjadi kakitangan kerajaan.”

Katanya, kerajaan sedang mengumpul data dan akan mengkaji semula kedudukan penjawat awam terjejas untuk memberi keadilan kepada mereka.

Beliau berkata, kerajaan dikecam hebat kerana menutup agensi yang disalahgunakan kerajaan pentadbiran terdahulu atas tujuan politik.

“(Kerajaan) tidak boleh teruskan peranan agensi-agensi ini kerana wang datang dari punca tidak diketahui telah digunakan untuk memberi saraan dan hadiah kepada mereka.

“Kita tidak ada wang dan tidak curi wang, jadi hanya bergantung pada pendapatan kerajaan, jadi tak cukup untuk membiayai apa yang dibuat kerajaan lepas.”

Pada 23 Mei lalu, Putrajaya mengumumkan penutupan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Majlis Profesor Negara (MPN) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Jho Low tak perlu bimbang

Perdana menteri berkata, ahli perniagaan diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low tidak perlu bimbang dia tidak dibicarakan secara adil di Malaysia.

Selasa lalu, sebuah mahkamah di Kuala Lumpur mendakwa Jho Low yang tidak hadir, atas 7 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.

Lelaki itu pada hari sama dalam satu kenyataan dikeluarkan sebuah syarikat perhubungan awam di Sydney, Australia, mendakwa dia tidak mungkin mendapat perbicaraan adil​ dan dakwaan itu bertujuan mengalihkan perhatian daripada kegagalan “rejim Mahathir” mentadbir negara.

Dia turut mendakwa kerajaan PH mengabaikan kedaulatan undang-undang dan menyalah tafsir Perlembagaan Persekutuan.