Hadi: Kontrak sosial lebih baik daripada ICERD dalam jamin keharmonian kaum

Hadi Awang (tengah) berucap dalam himpunan membantah ICERD di Dataran Merdeka hari ini.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kontrak sosial yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan lebih baik daripada Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dalam menjamin keharmonian pelbagai kaum di negara ini.

“Islam, agama persekutuan sudah memberikan kebebasan kepada agama lain dan hak Bumiputera.

“Kaum lain juga tidak dipinggirkan, di mana kontrak sosial lebih baik daripada ICERD,” kata presiden PAS itu ketika berucap dalam himpunan membantah ICERD di Dataran Merdeka hari ini.

Pejabat Perdana Menteri sebelum ini dalam satu kenyataan berkata, Putrajaya akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub di dalamnya kontrak sosial yang dipersetujui wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.

Sementara itu, Hadi berkata, tindakan Putrajaya menolak ICERD menunjukkan kehebatan rakyat dan wakil rakyat Pakatan Harapan tidak patut bertindak semborono hanya kerana mereka mempunyai majoriti mudah di Parlimen.

“Mereka mendapat majoriti mudah, bukan majoriti 2/3, berani mereka membawa ICERD (ke Parlimen),” katanya yang berikrar mengerahkan lebih ramai penyokong PAS untuk mengadakan himpunan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, rakyat Malaysia lebih berbudaya berbanding negara barat.

“Kita lebih berbudaya daripada negara barat yang lebih menghormati hak-hak binatang daripada hak manusia. Di negara barat, ada orang tua dijaga oleh anjing, negara kita tidak ada lagi sebegitu.”