Himpunan ICERD berakhir dengan aman

Peserta himpunan membantah ICERD mula bersurai akibat hujan, selepas Abdul Hadi Awang selesai berucap.

KUALA LUMPUR: Himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) berakhir dengan aman kira-kira 4.50 petang tadi.

Himpunan yang bermula 2 petang itu tamat lebih awal daripada masa ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Hujan mula turun ketika Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap, tetapi kira-kira 50,000 peserta tidak berganjak daripada tempat masing-masing untuk mendengar ucapan terakhir itu.

Peserta hanya mula bersurai selepas ahli Parlimen Marang itu selesai berucap.

Selain Hadi, turut hadir ialah Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan himpunan hari ini yang berlangsung secara aman tanpa insiden tidak diingini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penganjur dan peserta yang berhimpun secara aman serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang perhimpunan diadakan.

“Selaras semangat Malaysia Baharu, saya ingin mengulangi pendirian kerajaan untuk sentiasa menghormati hak rakyat bersuara dan berhimpun secara aman.

“Selagi mana hak-hak ini diamalkan menurut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, tinjauan FMT mendapati tanaman di laluan tengah jalan raya sekitar Masjid Jamek rosak akibat dipijak orang ramai.

Pokok ditanam laluan tengah jalan raya sekitar Masjid Jamek rosak dipijak orang ramai.

Bagaimanapun, sampah sarap tidak berselerak, sebaliknya dibuang dalam beg plastik yang dikumpulkan di sebuah tempat.

Sebelum ini, koordinator himpunan ICERD daripada Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan memberi jaminan himpunan itu akan diadakan secara aman dan tiada provokasi.

Pada 3 Disember lalu, DBKL meluluskan perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan ratifikasi ICERD di Jalan Raja, iaitu depan Bangunan Sultan Abdul Samad dari 2 hingga 6 petang hari ini.

Sampah sarap dikumpulkan di sebuah tempat.

Himpunan anjuran Gerakan Pembela Ummah yang disokong Umno dan PAS itu, pada mulanya bermatlamat membantah hasrat kerajaan mengiktiraf ICERD.

Bagaimanapun, ia ditukar kepada “himpunan kesyukuran” selepas Putrajaya menolak triti antarabangsa itu.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Malaysia akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.