Lebih 7,000 bekas ahli Umno sertai Warisan

Shafie Apdal berkata, Warisan menerima sesiapa sahaja yang mahu menyertai parti itu demi menyatukan rakyat. (Gambar Facebook)

TAWAU: Warisan menerima kemasukan 7,206 bekas ahli Umno yang menyertai bahagian Kalabakan, di sini, hari ini.

Penyerahan borang keahlian itu disampaikan wakil cawangan kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal dan disaksikan Setiausaha Agungnya, Lorreto S Padua.

Shafie yang juga ketua menteri Sabah dalam ucapannya berkata, penting untuk ahli parti membesarkan parti dengan menambah keanggotaan parti.

“Menjadi tanggungjawab anggota parti untuk menguatkan parti dengan membesarkan parti.

“Namun, dalam membesarkan parti banyak nilai positif perlu diamalkan ahli parti, bukan hanya ahli, bahkan pimpinan itu perlu beramal kepada rakyat.”

Dalam pada itu, katanya, sokongan rakyat membolehkan pimpinan kerajaan baharu hari ini memimpin dan menukar pemerintah lama.

“Setiap perkara yang dilakukan ahli parti perlu berpaksikan rakyat, kehendak rakyat, walaupun bukan semua yang dapat dipenuhi sekarang.

“Ada rakyat yang mahu kerja, ada rakyat yang mahu rumah, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu besarkan parti ini untuk kita mengetahui citarasa serta rintihan rakyat, selain membangunkan Sabah dan mempertahankan hak rakyat seperti dalam janji Warisan pada pilihan raya umum lalu.”

Beliau berkata, partinya menerima sesiapa sahaja yang mahu menyertai Warisan demi menyatukan rakyat.