MB Selangor: Tiada rombakan, hanya isi kekosongan 1 exco

Amirudin Shari (empat dari kiri) berkata, pelantikan seorang exco itu bertujuan melengkapkan kuota 10 exco dalam meningkatkan keberkesanan pentadbiran kerajaan Selangor. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari hari ini menafikan akan berlaku rombakan dalam barisan anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) dalam tempoh terdekat.

Beliau sebaliknya berkata, ia hanya membabitkan penambahan seorang exco baharu bagi melengkapkan barisan exco kerajaan negeri itu.

“Tiada rombakan, tetapi hanya penambahan seorang anggota exco bagi melengkapkan kuota 10 exco dalam meningkatkan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri.

“Penambahan exco ini perlu dibuat kerana kekosongan kerusi pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, susulan kematian exconya, Prof Dr Shaharuddin (Badaruddin)”, katanya di perhimpunan bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya laporan sebuah akhbar semalam yang mendakwa berlaku rombakan dalam barisan exco Selangor, dengan beberapa exco sedia ada bakal digugurkan.

Amirudin berkata, pihaknya belum memutuskan tarikh mengumumkan pengganti Shaharuddin yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 2 Ogos lalu.

“Saya sedang tunggu tarikh yang sesuai untuk umumkan perkara itu…tarikh belum ada, jika sudah ada tarikh, memang umum.”

Mengulas perkembangan isu pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, Amirudin berkata, pihaknya sedang mengumpul beberapa pandangan daripada pihak berkaitan, termasuk pengurusan kuil itu sebelum menentukan jalan penyelesaiannya.

“Apapun jalan penyelesaiannya, kita tidak akan melanggar kedaulatan undang-undang sekiranya membabitkan keputusan mahkamah…kita akan pertahankan kedaulatan undang-undang kerana ia penting pada kita, kalau tidak, orang buat sesuka hati.”

Baru-baru ini, isu itu mencetuskan rusuhan di kawasan rumah ibadat terbabit yang menyaksikan antara lain kenderaan dan bangunan dirosakkan, serta seorang anggota bomba parah diserang perusuh.

Terdahulu, dalam majlis itu, Amirudin yang mewakili kerajaan negeri menyampaikan bantuan RM20,000 kepada waris 6 anggota bomba yang maut dalam operasi menyelamat seorang remaja lelaki lemas di Taman Putra Perdana, Puchong, awal Oktober lalu.