Mohamad Hasan: Kerjasama Umno-PAS mampu guling PH pada PRU15

Mohamad Hasan (kiri) berkata, orang Melayu perlu bersatu mempertahankan maruah mereka.

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umnno, Datuk Seri Mohamad Hasan yakin kerajaan Pakatan Harapan (PH) boleh dijatuhkan pada pilihan raya umum akan datang, berdasarkan kehadiran dalam himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hari ini.

Dianggarkan 30,000 orang menyertai himpunan membantah ICERD yang bukan saja membanjiri Jalan Raja di depan Dataran Merdeka, tetapi juga Masjid Jamek dan Jalan Raja Laut.

“Jika ada seramai ni orang Melayu, Islam berkumpul di sini hari ini, kita bukan saja boleh menolak ICERD, tetapi juga kerajaan PH.

“Kita duduk di lori ni hari ini kerana kami kalah. Untuk mengembalikan maruah orang Melayu, kita perlu bersatu,” katanya ketika berucap dalam himpunan membantah ICERD hari ini.

Beliau cuba mendapatkan sokongan ahli PAS dengan berkata, tiada formula lain untuk mencapai kemenangan, kecuali 2 parti Melayu terbesar di negara ini bersatu.

Katanya, apa sahaja mungkin berlaku, termasuk menawan kembali Putrajaya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), jika orang Melayu bersatu padu.

Sebahagian peserta yang menyertai himpunan membantah ICERD di Dataran Merdeka hari ini.

3 amaran

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberi 3 amaran kepada kerajaan PH.

Katanya, kegagalan mengelakkan amaran itu akan menyebabkan rakyat bangkit menggulingkan kerajaan PH pada PRU15.

“Amaran pertama, negara asing cuba campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Malaysia. Kami tahu apa yang patut dibuat di negara kita sendiri.

“Amaran ke-2, jika PH terus berlengah, rakyat sedia berkumpul di Putrajaya.

“Amaran ke-3, pelampau tidak patut campur tangan hal ehwal negara. Mereka perlu dihalang segera. Jika mereka terus berbuat demikian, rakyat akan bangkit dan memastikan PH jatuh pada pilihan raya umum akan datang.”

Beliau dalam ucapannya berkata, peserta himpunan itu yang kebanyakan orang Melayu dan Islam tidak menentang kepentingan kaum lain, sebaliknya mereka menghormati agama lain dan tidak berniat mengambil tanah kaum lain.

Katanya, himpunan hari ini bertujuan mempertahankan hak orang Melayu, Islam dan tanah rizab Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, ICERD perlu ditolak demi manfaat generasi akan datang.