NGO dakwa PH amal demokrasi liberal, tuntut hak Islam, Bumiputera dijamin

Abdullah Zaik Abdul Rahman. (Gambar Twitter)

KUALA LUMPUR: Sebuah badan bukan kerajaan Islam menuntut kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan tidak akan melanggar hak Islam dan Bumiputera, selepas mendakwa Putrajaya mengamalkan ideologi demokrasi liberal dalam pentadbirannya.

“Kalau setakat (tolak) ICERD tidak cukup. Walaupun mereka katakan kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD, namun apakah jaminan yang akan diberikan bahawa mereka tidak akan menceroboh hak Islam dan Bumiputera?” soal Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman.

Beliau ketika berucap di Dataran Merdeka hari ini sempena himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), mendakwa kerajaan cuba menggunakan triti antarabangsa itu untuk menjayakan agenda “Malaysian Malaysia”.

“Kerajaan PH hari ini ideologinya adalah liberal demokratik. PKR, DAP, Amanah pula hanya ikut-ikut sahaja, tidak ada apa-apa agenda. PPBM pula matlamatnya hanya mahu jatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

“ICERD hanyalah satu muslihat, sejak dahulu lagi mereka mahu tegakkan ‘Malaysian Malaysia’. Perhimpunan hari ini menunjukkan rakyat Malaysia, khususnya Bumiputera sudah ditindas, ditekan. Kita mesti faham inilah perjuangan mereka sebenarnya.

“Dalam keadaan pemerintahan hari ini dikuasai bukan Islam, masih boleh ke kita harapkan pada mereka untuk tolong tegakkan Islam, memartabatkan agenda Melayu? Tidak mungkin.”

DAP menyokong konsep “Malaysian Malaysia” yang menuntut kesamarataan dalam semua perkara bagi semua kaum yang jelas bertentangan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.