Parlimen bukan lagi pak turut, kata speaker

Mohamad Ariff Md Yusof berkata, reformasi dijalankan ke atas Parlimen sejak 4 bulan lalu, termasuk penambahbaikan PAC, penubuhan 6 Jawatankuasa Pilihan Khas dan mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

KUALA LUMPUR: Parlimen di negara ini bukan lagi pak turut seperti dahulu, kata speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Katanya, proses pembaharuan Parlimen akan diteruskan untuk mengangkat martabatnya menjadi institusi berwibawa, berintegriti dan dihormati.

“Kita tak nak keadaan ini berulang, Parlimen mesti jadi institusi berwibawa dan berintegriti. Orang hormat.

“Bukan orang ingat (Parlimen itu) ‘rubber stamp’ dan tempat orang berkelahi. Itu anggapan dahulu,” katanya dipetik Bernama selepas merasmikan Seminar Reformasi Parlimen di Bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata, reformasi yang dilakukan sejak 4 bulan lalu, termasuk penambahbaikan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), menubuhkan 6 Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) dan mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

Katanya, usaha itu terus membawa perubahan positif kepada Parlimen untuk menjadikannya setaraf Parlimen di negara lain.

Selasa lalu, Ariff mengumumkan penubuhan 6 JPK, iaitu JPK Menimbang Rang Undang-undang, JPK Bajet, JPK Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri, JPK Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender, JPK Hubungan Antara Negeri dan Persekutuan serta JPK Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam.

Katanya, JPK itu antara usaha memperkasakan Parlimen, termasuk memainkan peranan semak dan imbang kepada badan eksekutif.

Sebelum ini, Ariff turut mengumumkan penubuhan Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus bagi memperkukuhkan fungsi institusi Parlimen.

Sementara itu, Ariff berkata, Parlimen akan bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menambah baik kualiti perbahasan ahli Parlimen, selain buku panduan berbahas secara sopan turut diedarkan DBP kepada wakil rakyat minggu lalu.

Sejajar perkembangan teknologi semasa, katanya, Parlimen turut melancarkan aplikasi MY Parl untuk membolehkan semua pihak, termasuk orang ramai mengakses maklumat seperti aturan mesyuarat, Hansard dan program Parlimen melalui telefon pintar.