Persatuan silat sembah memorandum tolak ICERD ke hadapan Seri Paduka

Memorandum gabungan 313 persatuan silat itu diterima oleh pegawai istana, Azuan Efendiy.

KUALA LUMPUR: Gabungan 313 persatuan silat hari ini menyerahkan sebuah memorandum ke hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara bagi menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pengapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Memorandum berkenaan diterima oleh pegawai istana, Azuan Efendiy pada jam 11.15 pagi tadi.

Pengerusi Gabungan Silat Pertahan Perlembagaan (Pertahan) Sahruddin Esa berkata, walaupun mereka berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana membatalkan keputusan kerajaan hendak meratifikasi ICERD, mereka juga bimbang perkara itu akan dibangkitkan semula pada masa depan.

“Kami mahu jaminan sama ada ia batalkan atau ditangguhkan. Kita harus ingat keharmonian antara kaum di negara ini perlu dipertahankan. Setiap kali isu ICERD dibangkitkan, ia melukakan kami yang kebanyakannya orang Melayu,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum berkenaan.

Lebih 300 ahli Pertahan berarak dari Masjid Wilayah Persekutuan ke Pintu 3 Istana Negara bagi menyerahkan memorandum menolak ICERD.

Sahruddin berkata, mereka tidak menyalahkan kaum lain berhubung isu melibatkan ICERD, tetapi hanya membantah “kumpulan tertentu yang menggugat keharmonian negara”.

Terdahulu, lebih 300 ahli Pertahan berarak dari Masjid Wilayah Persekutuan ke Pintu 3 Istana Negara bagi menyerahkan memorandum tersebut.

Kumpulan itu juga mengadakan acara angkat sumpah bagi menyatakan kesetiaan untuk mempertahankan Agong, orang Melayu dan negara.

Ini diikuti dengan persembahan “silat hormat” oleh 5 mahaguru silat, yang menurut mereka merupakan sembah hormat ke hadapan YDP Agong.

“Berhentilah melabelkan pengamal silat sebagai kumpulan ganas. Hari ini bukan mengenai keganasan kerana kami melakukannya dengan cara aman,” katanya.

Beliau berkata, Pertahan akan meneruskan usaha mendidik orang ramai mengenai ICERD melalui siri jelajah ke seluruh negara dan juga untuk menyembahkan memorandum sama ke hadapan semua Sultan di negara ini.

Khamis lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata, terdapat 2 himpunan membantah ICERD yang berlainan pada hari ini, iaitu himpunan persatuan silat dan himpunan kedua anjuran pertubuhan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang melibatkan pemimpin PAS dan Umno, yang akan diadakan di Jalan Raja, berhampiran Dataran Merdeka pada jam 2 hingga 6 ptg.

Sahruddin berkata, mereka tidak akan menyertai perhimpunan di Jalan Raja, tetapi menyokong usaha berkenaan sebagai tanda bahawa majoriti orang Melayu menolak ICERD.