Polis siap sedia hadapi sebarang kemungkinan sempena perhimpunan ICERD, kata KPN

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi berkata, sekiranya perhimpunan ICERD tidak selesai selepas pukul 6 petang ini, polis akan terus memantaunya sehingga ke pagi esok.

KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan agar peserta perhimpunan kesyukuran kerajaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak mencetuskan sebarang provokasi pada perhimpunan berkenaan, petang ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ini kerana polis bersiap-siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

Beliau berkata, sejak semalam polis telah membuat pemantauan dan jumlah peserta ICERD pada pagi ini dianggar seramai 5,000 orang dan jumlah itu dijangka meningkat pada tengah hari.

“Polis telah buat persiapan serapi mungkin dan kami berdoa dan berharap agar tiada apa-apa yang berlaku pada petang ini.

Sekiranya perhimpunan ICERD ini tidak selesai selepas pukul 6 petang ini, polis akan terus memantaunya sehingga ke pagi esok dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini,” katanya pada sidang media sempena Majlis Berkhatan Perdana PDRM 2018, di Masjid Bukit Aman di sini, hari ini.

Pada Khamis lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, polis akan menutup 6 jalan di ibu negara bersempena perhimpunan ICERD, bermula pukul 6 pagi ini.

Tindakan berkenaan dibuat bagi memberi ruang kepada peserta berhimpun di Jalan Raja berdepan bangunan Sultan Abdul Samad selain mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.