PTPTN: Rakyat patut beri cadangan sebelum kerajaan buat keputusan, kata PM

Dr Mahathir berkata, kerajaan akan mengubah suai kaedah bayaran balik PTPTN berikutan reaksi negatif orang ramai.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat sepatutnya memberi cadangan lebih awal tentang cara pembayaran balik pinjaman Tabung Perbadanan Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebelum kerajaan memutuskan sesuatu ketetapan.

Beliau berkata, kerajaan akan meneliti setiap pandangan yang diutarakan meskipun mengakui sukar untuk memuaskan hati lebih 30 juta rakyat di negara ini.

“Banyak orang ada banyak pandangan. Sebelum kita umumkan, mereka (rakyat) tidak beritahu kita, kemudian bila dah umumkan mereka tidak puas hati.

“Tapi untuk tanya 33 juta orang susah sikit lah, tapi mana yang memberi reaksi negatif, kita akan ambil kira pandangan mereka.

“Bila ramai orang tidak bersetuju dengan kaedah baru ini jadi kita akan ubah suai semula perkara tersebut dan umumkan nanti,” katanya kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), di sini, hari ini.

Semalam Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek menyatakan PTPTN akan menangguhkan pelaksanaan kaedah Potongan Gaji Berjadual (PGB) ke atas semua peminjamnya susulan pengumuman perbadanan itu Rabu lepas, yang akan melaksanakan PGB ke atas peminjam yang gajinya mencecah RM2,000 sebulan.

Pengumuman PTPTN itu mendapat reaksi pelbagai pihak, termasuk ahli politik yang mahu kaedah itu dipertimbangkan semula supaya tidak membebankan peminjam.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai prestasi Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan susulan reaksi para peminjam terhadap kaedah bayaran balik yang diumumkannya itu, Dr Mahathir berkata, perkara itu pasti akan berlaku kerana “setiap manusia tidak sempurna”.

“Benda tak sangka berlaku, macam PH menang pilihan raya umum. Manusia ada kelemahan dan tidak tahu apa nak jadi dengan kita, macam keluar jalan kena langgar kereta, minta maaflah,” katanya.

Wan Saiful dikritik hebat oleh majoriti peminjam PTPTN kerana menganggap ketetapan yang diumumkannya baru-baru ini sebagai tidak munasabah.