Sekolah Pemimpin Masa Hadapan perlu pengajar berciri pemimpin

Mohd Arshad Raji bersetuju dengan program Sekolah Pemimpin Masa Hadapan.

PETALING JAYA: Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berkata program Sekolah Pemimpin Masa Hadapan yang menggantikan Program Khidmat Negara (PLKN) perlu mempunyai tenaga pengajar dari kalangan mereka yang mempunyai ciri-ciri pemimpin.

Presidennya, Datuk Mohd Arshad Raji berkata, jika pengajar hanya sekadar berhujah ia tidak akan memberikan manfaat kepada program tersebut.

“Kepimpinan memerlukan kita mempunyai ‘traits’ kepimpinan tertentu yang akan menjadi ikutan dan dihormati oleh orang yang kita pimpin,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan kerajaan untuk melaksanakan program Sekolah Pemimpin Masa Hadapan bagi menggantikan PLKN.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata program itu akan menggunakan konsep “summer camp” yang akan diadakan pada musim cuti sekolah.

Steven berkata, kementerian menyasarkan 60,000 belia berumur 15 hingga 17 tahun akan disaring daripada jumlah sejuta belia bersekolah.

Mengulas lanjut, Arshad berkata beliau setuju dengan program Sekolah Pemimpin Masa Hadapan.

“Melihat dari tajuk iaitu ‘Sekolah Pemimpin Masa Depan’, saya anggap mata pelajaran akan tertumpu kepada membentuk diri seseorang untuk menjadi seorang pemimpin,” katanya.

Ditanya adakah program itu mampu memupuk semangat patriotisme, Arshad berpendapat latihan untuk memupuk patriotisme dan kepimpinan memerlukan kurikulum dan cara pengajaran yang berbeza.

Beliau berkata, ini disebabkan patriotisme mengajar seseorang untuk mencintai negara.