Selain ICERD, kami tak puas hati pentadbiran PH, kata peserta himpunan

Sebahagian daripada peserta yang menyertai himpunan membantah ICERD di Dataran Merdeka hari ini.

KUALA LUMPUR: Selain Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), peserta himpunan di Dataran Merdeka hari ini turut bimbang hak orang Melayu dan Bumiputera terjejas di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang tidak menampakkan perubahan sejak 7 bulan lalu.

Bekas pekerja bank, Ajit Abdullah, 62, yang menetap di Bandar Tun Razak, Cheras, berkata beliau tidak nampak perubahan dibawakan PH sejak gabungan itu mengambil alih kepimpinan negara 9 Mei lalu.

“Dalam 6 bulan memang tidak ada apa-apa yang dibuat, hanya mereka yang banyak bercerita. Di mana hala tuju orang Melayu kita? Saya di sini demi anak cucu kita nanti, saya terfikir apakah nasib mereka nanti.

“Apakah yang akan berlaku kepada negara, apabila kerajaan PH meratifikasi ICERD. Bukan itu sahaja, kenapalah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memilih P Waytha Moorthy yang dulunya Hindraf sebagai menteri perpaduan.

“Bukannya saya tidak suka PH, tetapi biarlah lakukan perkara membina, bukannya buat perkara bukan-bukan. Kerajaan dahulu juga bukanlah betul sangat, tetapi tambah baiklah apa yang tidak betul,” kata pesara itu kepada FMT ketika ditemui menyertai himpunan membantah ICERD di Dataran Merdeka, petang tadi.

Habibah Kassim, 53, yang berasal dari Kota Sarang Semut, Kedah, menggesa orang Melayu memberi perhatian terhadap tindakan PH membabitkan isu Bumiputera.

“Kita kena sedar apa yang terjadi, bukannya hanya isu ICERD sahaja. Tetapi, lihatlah apa yang terjadi dalam perkara membabitkan isu Mara (Majlis Amanah Rakyat) dan juga PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional).

“Bersusah payah Tun Abdul Razak membinanya, kita pula senang-senang mahu hancurkannya. Jadinya, kalau kita tidak bangkit hari ini, tunjukkan apa yang kita rasa, maka lihatlah apa yang akan berlaku.”

Peniaga dari Batu Kawan, Pulau Pinang yang hanya mahu dikenali sebagai Zulhilman, 45, berkata beliau menyertai himpunan hari ini untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran PH di negerinya.

“Keadaan semakin teruk di sana, keistimewaan Melayu semakin lama semakin hilang. Saya duduk di Pulau Pinang, saya tahu bagaimana rasanya, tidak ada apa yang istimewa diberikan kepada Melayu, Bumiputera.

“Dahulu, ada juga kita dapat keistimewaan dari BN (Barisan Nasional). Tetapi, sekarang ini semuanya dikawal, lihatlah dengan rizab orang Melayu di sana. Jadi, saya sokong orang Melayu tolak ICERD. Semoga kita cepat-cepat tukar kerajaan.”

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Malaysia akan terusmempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.