Tidak layak: Calon PTD tolak dakwaan pensyarah kanan

Institut Tadbiran Awam Negara di Kuala Lumpur. (Gambar Website INTAN)

PETALING JAYA: Sekumpulan 52 pegawai awam yang dibuang semasa bercuti belajar tajaan kerajaan menolak dakwaan seorang penyarah kanan bahawa mereka tidak layak mengikuti kursus berkenaan.

Pegawai awam tersebut, yang sedang mengikuti kursus diploma pascasiswazah dalam pentadbiran awam di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Kuala Lumpur, ditamatkan pengajian mereka pada 30 Nov lepas kerana gagal mendapat gred A- dalam modul “sahsiah” atau personaliti.

Mereka mendakwa gred lulus modul berkenaan dinaikkan dari B ke A- 3 hari sebelum mereka diarah meninggalkan kursus.

Dalam satu konvensyen sebulan sebelum itu, seorang pensyarah kanan dilaporkan berkata, kumpulan pegawai tersebut gagal mencapai standard yang diperlukan oleh pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang berjawatan tinggi

Dalam satu kenyataan kepada FMT, kumpulan tersebut, yang mahu dikenali sebagai “Wakil G52” berkata, mereka tidak bersetuju dengan dakwaan pensyarah tersebut dan percaya persaingan kuasa antara mereka dengan kumpulan pelajar lebih berumur menyebabkan mereka dibuang kursus.

Mereka berkata, adalah sukar untuk menerima dakwaan pensyarah itu setelah mereka melalui proses pemilihan ketat dan disenarai pendek daripada lebih 3,000 pemohon untuk mengikuti kursus berkenaan.

Menurut kumpulan itu, salah satu syarat kemasukan ialah memperoleh markah penilaian sekurang-kurangnya 90% dalam tempoh 3 tahun berturut-turut daripada ketua jabatan masing-masing. Syarat kemasukan lain ialah telah berkhidmat minimum 5 tahun.

“Jadi bagaimanakah seorang pensyarah kanan boleh mempersoalkan kredibiliti ‘sahsiah’ 52 individu ini setelah kesemua mereka mendapat markah penilaian 90% daripada jabatan masing-masing, yang juga mengambil kira komponen ‘sahsiah’ itu,” kata kumpulan terbabit.

Mereka berkata, dakwaan yang dibuat itu “tidak bertanggungjawab”, “mengecewakan” dan “sukar diterima”, terutamanya apabila ia diucapkan oleh seorang pensyarah kanan, yang menurut mereka pernah memuji kumpulan tersebut beberapa kali sebelum ini.

52 pegawai itu merupakan sebahagian daripada 86 orang yang dipilih untuk mengikuti kursus tersebut. Mereka dijadualkan akan dinaikkan pangkat sebagai pegawai PTD selepas tamat kursus.

Jawatan PTD menjadi idaman ramai kerana ia membolehkan pegawai terbabit mengisi jawatan tertinggi perkhidmatan awam.

Bagaimanapun kumpulan pelajar ini berbeza dengan kumpulan lain kerana mereka merupakan pegawai yang sedang berkhidmat di pelbagai jabatan di seluruh negara dan sedang bercuti belajar di Intan. Mereka melalui latihan seperti pegawai PTD biasa, selain komponen ketenteraan.

Berhubung dakwaan pensyarah tersebut bahawa kumpulan 86 pelajar itu “kekurangan DNA atau semangat pegawai PTD”, mereka berkata, kenyataan itu menggambarkan fikrah berpuak-puak yang meluas dalam perkhidmatan PTD.

“Menjadi pegawai PTD tidak ada kaitan dengan kekurangan “DNA atau semangat pegawai PTD.”

Kumpulan itu juga percaya, “sebilangan kecil” pegawai PTD sedia ada mahu 52 pelajar terbabit dikeluarkan, tanpa menjelaskan sebabnya.

Berhubung dakwaan pensyarah berkenaan bahawa salah seorang daripada 52 pelajar terbabit mencabar kewibawaan seorang pensyarah lain dengan mempersoalkan kelayakan beliau, kumpulan itu berkata, insiden tersebut telah dilihat di luar konteksnya.

Mereka berkata, pelajar berkenaan bertanyakan soalan tersebut sebagai pemula bicara dan mahu tahu sama ada mereka pernah belajar di universiti yang sama.

Kumpulan itu berkata, pensyarah berkenaan dikatakan memberitahu pelajar lain bahawa beliau tidak selesa dengan soalan tersebut dan pelajar terbabit telah meminta maaf kemudiannya. Permohonan maaf itu diterima, kata mereka.

FMT telah menghubungi Intan bagi mendapatkan komen berhubung isu ini dan sedang menunggu respons mereka.