Zahid: Ahli PAS, Umno perlu bersatu demi fikrah, pertahan hak Islam

Ahli Umno dan PAS turut serta dalam himpunan membantah ICERD di Dataran Merdeka hari ini.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa ahli Umno dan PAS bersatu untuk mempertahankan hak Islam serta Bumiputera.

Presiden Umno itu berkata, gesaan itu bukannya gabungan politik, tetapi dari segi fikrah.

“Saya ingin bertanya adakah sanggup kita berhimpun semula demi Islam, Melayu, demi rakyat negara kita?

“Sanggupkah kita ketepikan perbezaan di kalangan Umno dan PAS? Sanggupkah akar umbi kita bersatu semula atas nama Islam, atas nama Melayu, tanpa ketepikan agama lain, bangsa lain, tanpa ketepikan keturunan lain?

“Kita harus terjemahkan kerana rakyat mengharapkan kesatuan antara Umno dan PAS,” katanya ketika berucap dalam himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Merdeka hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, himpunan hari ini adalah amaran kepada kerajaan Pakatan Harapan supaya tidak mengusik hak Islam dan Bumiputera.

“Kita lihat bahawa kesatuan ini adalah satu simbolik yang memperlihatkan kerajaan yang ada sekarang ini jangan main-main dengan rakyat.

“Apabila perasaan rakyat diusik, kita akan bersatu dan berkumpul seperti yang kita ada pada hari ini.”