Anwar: Ketua PKR Sabah diketahui selepas mesyuarat Biro Politik

Anwar Ibrahim (duduk, empat dari kiri) bersama Christina Liew (duduk, dua dari kanan) bergambar dengan pemimpin PKR Sabah selepas mesyuarat di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: PKR dijangka membuat keputusan tentang siapakah yang akan menerajui parti itu di Sabah seawal-awalnya Selasa ini, kata Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ketua bahagian parti itu dari Sabah di sini, beliau berkata, Biro Politik PKR akan bermesyuarat Selasa ini untuk membincangkan perkara tersebut.

“Biro Politik kami bermesyuarat pada setiap Selasa, jadi, mungkin pada Selasa malam (11 Disember) atau selepas itu (PKR akan mengumumkan kepimpinan negeri yang baharu),” katanya.

Anwar menegaskan beliau akan menghormati keputusan majoriti berhubung kepimpinan parti itu bagi Sabah.

Ahli Parlimen Port Dickson itu seterusnya berkata, keputusan beliau untuk menyetujui suara majoriti berlandaskan perlembagaan parti yang mensyaratkan presiden perlu berunding dengan pemimpin negeri.

“Di kesemua 9 negeri (termasuk Sabah) yang telah saya lawati (setakat ini), saya mengikut saja, walaupun saya tidak umumkan, kehendak majoriti ketua cabang (bahagian).

“Kecualilah terdapat kes yang menuntut perhatian khusus, sama ada personaliti berkenaan (bakal ketua) begitu bersifat antagonistik atau bermasalah…tapi setakat ini, saya tidak nampak ada masalah itu dan pastinya tidak di Sabah.”

Menurut laporan, penyandang jawatan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew yang juga timbalan ketua menteri Sabah, ditentang Ketua PKR Bahagian Tawau, Datuk Kong Hong Ming bagi jawatan ketua parti negeri itu.