Anwar, Shafie antara 13 ahli Parlimen kerajaan belum isytihar harta

Portal Pengisytiharan Harta memaparkan jumlah pendapatan dan aset yang diisytiharkan ahli Parlimen kerajaan.

PUTRAJAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara 13 ahli Parlimen belum mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berdasarkan Portal Pengisytiharan Harta (https://mydeclaration.sprm.gov.my/), sehingga 5 petang tadi, ahli Parlimen Port Dickson itu yang memenangi pilihan raya kecil 13 Oktober lalu, belum mengisytiharkan jumlah pendapatan bulanan dan asetnya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil dalam satu majlis di Putrajaya hari ini memaklumkan 13 ahli Parlimen kerajaan belum mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Selain itu, Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faisal Azumu yang merupakan ahli Parlimen Tambun juga belum mengisytiharkan harta.

Berdasarkan laman web itu, 7 ahli Parlimen PKR belum mengisytiharkan harta.

Selain Anwar, 6 wakil rakyat PKR itu adalah Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (Kapar), P Prabakaran (Batu), Datuk Seri Dr Santhara (Segamat), Awang Husaini Sahari (Putatan), Ali Biju (Saratok) dan Dr Michael Teo Yu Keng (Miri).

Tiga ahli Parlimen PPBM belum mengisytiharkan harta, iaitu Faisal, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Selain Shafie, seorang lagi wakil rakyat Warisan yang belum mengisytiharkan harta ialah Datuk Rozman Isli (Labuan).

Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang merupakan ahli Parlimen Tuaran juga belum mengisytiharkan harta.

Semakan mendapati beberapa ahli Parlimen hanya mengisytiharkan pendapatan bulanan, tetapi bukannya jumlah aset mereka.

Mereka termasuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi (Silam), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dan Datuk Liew Vui Keong (Batu Sapi), serta RSN Rayer (Jelutong), Wong Tack (Bentong) dan Mordi Bimol (Mas Gading).