Duta: Bon Samurai bukti Jepun yakin kepimpinan Dr M

Duta Jepun, Makio Miyagawa berkata, keyakinan industri Jepun untuk meninjau peluang serta mengembangkan pelaburan di Malaysia kembali ketara susulan pentadbiran kerajaan baru. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pakej bantuan kewangan Jepun kepada Malaysia termasuk penerbitan bon Samurai, merupakan bukti keyakinan kukuh negara itu terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa berkata, bon dalam denominasi yen bernilai RM7.4 bilion itu yang dijadual diterbitkan sebelum Mac tahun depan, tidak hanya mengurangkan beban kewangan Malaysia susulan komitmen kerajaan terdahulu, tetapi turut meningkatkan semula keyakinan pelabur Jepun untuk kembali ke negara ini.

Beliau berkata penerbitan bon 10 tahun itu juga adalah susulan kepada perbincangan di antaranya dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Kementerian Kewangan Malaysia sememangnya dalam usaha menerbitkan bon dalam denominasi yen di pasaran Tokyo bagi memastikan sumber kewangan besar untuk menggantikan hutang berkadar faedah amat tinggi yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu,” katanya.

Mengulas selanjutnya, Dr Miyagawa mendedahkan, teras kedua pakej kewangan itu adalah dalam bentuk pinjaman rasmi oleh kerajaan Jepun bagi pembiayaan beberapa projek dan program yang ditawarkan pada kadar faedah rendah serta tempoh pembayaran semula yang lebih panjang, termasuk beberapa program pembangunan pendidikan dan modal insan.

Beliau juga sempat berkongsi pemerhatiannya terhadap kemunculan semula Dr Mahathir menerajui pemerintahan negara pada Mei lepas.

“Kerajaan baru Malaysia berjaya menyelamatkan negara daripada dihimpit bebanan hutang besar, malah telah memulakan semangat baru menerusi platform dasar baru bagi keadilan, kesaksamaan, tadbir urus serta mengemudi Malaysia ke arah pertumbuhan lebih lancar,” katanya.

Tindakan sedemikian, kata duta itu, turut mengembalikan keyakinan peringkat tempatan dan antarabangsa terhadap demokrasi di Malaysia, sekali gus membuka peluang baru membabitkan interaksi dengan penggiat serantau dan global.

“Ini turut memberi isyarat jelas kepada negara jiran Asia lainnya untuk membuat perubahan,” katanya.

Menyentuh aspek pelabur, Dr Miyagawa berkata, keyakinan kalangan industri di Jepun untuk meninjau peluang serta mengembangkan pelaburan di Malaysia, juga kembali ketara susulan pentadbiran kerajaan baru di negara ini.

“Walaupun industri kedua-dua negara berkongsi hubungan yang akrab, syarikat Jepun ternyata keberatan untuk melabur dalam beberapa tahun kebelakangan ini akibat pergolakan politik di Malaysia.

“Namun, selepas berakhirnya pilihan raya umum tahun ini, pelabur Jepun mula meneliti semula pelaburan di Malaysua dan (sambutannya) adalah positif,” katanya.

Dr Miyagawa menyifatkan aliran perkembangan itu adalah hasil komitmen dasar pentadbiran baru diterajui Dr Mahathir yang antaranya menyentuh aspek ketelusan, keadilan dan kedaulatan undang-undang.

“Pihak Jepun menerusi sektor awam dan swasta, kedutaan dan industrinya yang menjalankan perniagaan di Malaysia pasti teruja untuk meneruskan serta memperhebatkan lagi dialog dengan pihak berkuasa dan pertubuhan industri di Malaysia.

“Dialog sedemikian amat penting bagi kefahaman bersama selain turut memberi jaminan serta dorongan kepada lebih banyak syarikat Jepun untuk datang ke Malaysia,” katanya.