FAM: 80,000 tiket perlawanan akhir Piala AFF Suzuki habis dijual

Sebanyak 40,000 tiket yang dijual dalam talian pada Jumaat dan semalam juga habis dibeli dalam masa singkat. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kehangatan perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil semakin dirasai apabila kesemua 80,000 keping tiket yang diperuntukkan, habis dijual.

Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam laman Facebook rasminya, sebanyak 40,000 tiket yang dijual secara fizikal di 3 lokasi di sekitar Lembah Klang hari ini habis dibeli dalam masa singkat.

Tiga lokasi itu ialah di kaunter tiket pintu A dan E Stadium Nasional Bukit Jalil, Arenal Futsal FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya (hanya bagi yang memiliki keratan tiket separuh akhir kedua di Bangkok) dan 1,000 keping di Al-Ikhsan Sports Cawangan IOI City Mall, Putrajaya.

Untuk rekod, sebanyak 40,000 tiket yang dijual dalam talian pada Jumaat dan semalam juga habis dibeli dalam masa singkat.

Malaysia mencatat keputusan agregat seri 2-2 menentang Thailand pada aksi separuh akhir untuk mara ke perlawanan akhir menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Vietnam pula menempah tiket ke perlawanan akhir setelah mencatat kemenangan agregat 4-2 ke atas Filipina pada satu lagi aksi separuh akhir kejohanan yang menggunakan format timbal balik itu.

Dalam perkembangan berkaitan, operasi perkhidmatan LRT Laluan Sri Petaling/ Ampang, LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang akan dilanjutkan sehingga 1 pagi Selasa ini bersempena aksi perlawanan akhir pertama di Kompleks Sukan Nasional Bukit Jalil itu.

Menurut kenyataan Jabatan Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik Prasarana Malaysia Berhad hari ini, penumpang boleh menggunakan perkhidmatan itu, termasuk bertukar laluan di Stesen Masjid Jamek, Plaza Rakyat, Pasar Seni dan Maluri.

Orang ramai yang ingin menyaksikan perlawanan tersebut digalak menggunakan perkhidmatan berkenaan untuk perjalanan yang mudah, selesa dan selamat.

Mereka juga disaran menggunakan fasiliti “park n ride” yang disediakan di stesen MRT dan LRT khususnya di sepanjang Laluan LRT Sri Petaling terutamanya di Putra Heights, Muhibbah, Awan Besar, Kinrara BK5, IOI Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong, dan Kompleks Parkir Bertingkat Bandar Tasik Selatan.