Gobind Singh ganti Tony Pua jadi pengerusi DAP Selangor

Gobind Singh Deo (empat dari kanan) bergambar bersama ahli Jawatankuasa DAP Selangor, selepas beliau dipilih menerajui parti negeri itu hari ini.

PETALING JAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo hari ini dipilih sebagai pengerusi DAP Selangor, menggantikan Tony Pua yang tidak mempertahankan jawatannya.

Keputusan itu diumumkan dalam Konvensyen DAP Selangor 2018 hari ini.

Gobind antara 15 pemimpin negeri yang mendapat undi terbanyak dalam pemilihan ahli Jawatankuasa DAP Selangor sebelum ini, yang memilihnya sebagai pengerusi.

Ahli Parlimen Puchong itu dalam ucapannya selepas pengumuman itu meminta DAP Selangor merapatkan barisan untuk berdepan cabaran.

“Parti kita hari ini ialah parti pemerintah. Apa yang penting sekarang ialah kita pandang ke depan, fokus dan bersatu dalam menghadapi cabaran akan datang. Ini akan jadi fokus jawatankuasa baharu.”

Daripada keseluruhan 724 undi yang diperolehi, Exco Selangor, Ng Sze Han meraih undi terbanyak, iaitu 491 undi, diikuti Tiew Way Keng (463 undi) dan Ronnie Liu (442 undi).

Gobind mendapat 393 undi, manakala Pua tersingkir daripada Jawatankuasa DAP Selangor.

Berikut senarai Jawatankuasa DAP Selangor:

Timbalan pengerusi: Ean Yong Hian Wah

Naib pengerusi: Ng Suee Lim, V Ganabatirau

Setiausaha: Ronnie Liu

Penolong setiausaha: Ong Kian Ming

Bendahari: Ng Sze Han

Penolong bendahari: Lee Ching Hung

Setiausaha organisasi: Bryan Lai

Penolong Setiausaha organisasi: Tee Boon Hock, Lau Weng San

Setiausaha publisiti: Tiew Wey Kheng

Penolong setiausaha publisiti: Lee Fu Haw

Pengarah Biro Pendidikan Politik: Lee Kee Hiong

Ahli jawatankuasa: Teng Chang Kim

Pemilihan DAP Selangor dikatakan saingan sengit antara akar umbi dan kepimpinan pusat.

Pada 2015, Gobind mengungguli pemilihan dengan undi paling banyak, manakala Pua berada di tangga ke-8 dengan 241 undi di belakang Gobind.

Bagaimanapun, Pua dilantik semula sebagai pengerusi dan Gobind sebagai timbalannya.