Haramkan surat sokongan kepada pembida kontrak, kata kumpulan hak asasi

Surat yang dikeluarkan oleh setiausaha politik kepada timbalan perdana menteri. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi menggesa Putrajaya mengharamkan surat sokongan menteri atau pembantu mereka selepas setiausaha politik kepada timbalan perdana menteri dikritik keras kerana didakwa mengeluarkan dokumen sedemikian.

“Ia jelas salah guna kuasa kerajaan. Perlu diingat surat tersebut dikeluarkan dengan menggunakan kepala surat timbalan perdana menteri sendiri, jawatan awam kedua paling tinggi di negara ini.

“Jadi di manakah perubahan yang selalu dijanjikan Pakatan Harapan (PH),” kata pengarah eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya dalam satu kenyataan.

Semalam, akhbar The New Straits Times melaporkan Romli Ishak, setiausaha politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dikritik hebat kerana mengeluarkan sepucuk surat berkait satu kontrak katering kepada pejabat menteri pendidikan.

Bagaimanapun Romli menafikan sebarang salah guna kuasa dengan berkata, walaupun beliau menulis surat itu, namun ia tidak mengandungi apa-apa syor supaya syarikat terbabit diberikan kontrak berkenaan.

Beliau berkata, anggota parti juga kerap meminta surat seperti itu untuk disertakan dalam bidaan mereka sebagai rujukan dan “ahli politik tidak menolaknya”, tetapi menambah, beliau sering mengeluarkan surat sedemikian bagi “memberi mereka jaminan dan keyakinan untuk memasukkan bidaan.”

Latheefa Koya.

Latheefa bagaimanapun berkata, dengan menyokong seseorang pemohon semata-mata kerana beliau anggota parti, pejabat timbalan perdana menteri mungkin menafikan “rakyat biasa” yang lebih berkelayakan daripada mendapat kontrak tersebut.

“Adakah ini adil? Ia berlawanan dengan semua yang diperjuangkan oleh PH dan bertentangan dengan Malaysia Baru yang dijanjikan kepada rakyat”

Beliau juga menyifatkannya sebagai amalan yang tidak bermoral, dengan berkata, kerajaan dipilih untuk memberi perkhidmatan sama adil kepada rakyat, bukannya memberi layanan istimewa kepada anggota parti.

Latheefa juga menggesa Wan Azizah menjelaskan sama ada beliau sedar setiausaha politiknya mengeluarkan surat sokongan dan sama ada beliau juga sedar surat tentang surat terbaru itu dan memberi kuasa supaya surat sedemikian dikeluarkan.

Beliau berkata, sekiranya timbalan perdana menteri itu tidak menyedarinya, maka timbul pula isu lebih besar iaitu penyalahgunaan kepala surat pejabat beliau untuk tujuan yang tidak disahkan.

“Sebaliknya jika beliau tahu, maka beliau perlu jelaskan kenapa beliau membenarkan amalan naungan politik sedemikian.”

Pada Jun lepas, kerajaan memutuskan menteri dan timbalan menetri tidak dibenarkan mengeluarkan surat sokongan untuk mana-mana cadngan tender melibatkan kerajaan.