‘Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan bincang teguran Suaram reformasi lambat’

Kasthuriraani Patto berkata, NGO berhak menegur kerajaan jika terlepas pandang sesetengah isu.

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) yang baru ditubuhkan Parlimen akan memberi perhatian terhadap teguran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berhubung kerajaan Pakatan Harapan (PH) lambat melakukan reformasi dalam isu hak asasi manusia dan hak berpolitik, kata Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto.

Beliau yang menganggotai JPK Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender berkata, pihaknya maklum mengenai perkara itu dan isu dibangkitkan Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy akan diketengahkan dalam mesyuarat jawatankuasa itu.

“Baru sahaja senarai Jawatankuasa Pilihan Khas diberikan dan salah satu jawatankuasa itu adalah berkaitan hak asasi manusia dan gender.

“Kita belum lagi mula bermesyuarat dan sudah tentu kelak ia akan melibatkan badan bukan kerajaan (NGO).

“Pada pandangan saya, jawatankuasa ini akan bermesyuarat dan sudah tentunya akan melibatkan pihak berkaitan hak asasi. Saya rasa ini adalah cara yang betul,” katanya kepada FMT.

JPK Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender dipengerusikan Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip dan dianggotai Kasthuriraani, Charles Santiago (Klang), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Ma’mun Sulaiman (Kalabakan) dan Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Ia antara 6 JPK ditubuhkan untuk memperkasakan Parlimen menerusi reformasi dilakukan sejak 4 bulan lalu, manakala Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus.

Terdahulu, Sevan dilaporkan berkata, selain beberapa perubahan dari segi ekonomi, seperti pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST), kerajaan PH dilihat sedikit perlahan dalam melaksanakan reformasi membabitkan hak asasi manusia dan hak berpolitik.

Beliau mendakwa sikap PH sama seperti kerajaan BN terdahulu kerana membuat keputusan tanpa sebarang perbincangan awam.

Hari ini, penasihat Suaram, Dr Kua Kia Soong dilaporkan menempelak kerajaan PH kerana bersifat menindas seperti kerajaan Barisan Nasional terdahulu.

Aktivis hak asasi manusia itu mengulas keputusan Putrajaya menarik balik moratorium ke atas Akta Pencegahan Jenayah (Poca), Akta Pencegahan Keganasan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) dan Akta Hasutan susulan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, akhir bulan lalu.

Laporan Suaram berkaitan hak asasi manusia tahun ini menunjukkan Sosma dan Poca digunakan secara meluas sehingga pilihan raya umum ke-14 lalu.

“Trend dan intimidasi polis terhadap pembela dan hak asasi manusia berterusan, dengan timbalan menteri dalam negeri mempertahankan tindakan polis dalam menyiasat pembela dan hak asasi manusia untuk berhimpun dan menyerahkan memorandum kepada agensi kerajaan,” kata Sevan.

Kasthuriraani berkata, NGO berhak menegur kerajaan jika terlepas pandang sesetengah isu.

“Sebagai NGO hak asasi manusia, itu adalah hak mereka untuk ingatkan kita. Jadi, lebih baik untuk mereka jalankan tugas kerana kadangkala ada beberapa isu yang tidak mendapat perhatian sehinggalah mereka ingatkan.

“Jadi baguslah, saya alu-alukan pandangan masyarakat. Mungkin selepas ini, kita boleh berdialog dan berbincang apakah yang boleh kita lakukan secara bersama berdasarkan bukti-bukti dan data yang ada.”