Kerajaan kaji mansuh diskaun lot Bumiputera bagi hartanah RM1 juta

Zuraida Kamaruddin berkata, tidak patut ada kuota bagi kaum tertentu untuk hartanah bernilai RM1 juta ke atas. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan memansuhkan dasar diskaun lot Bumiputera bagi hartanah bernilai RM1 juta dan ke atas, kata menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya berpandangan tidak patut ditetapkan kuota bagi kaum tertentu untuk hartanah bernilai RM1 juta ke atas.

“Rumah RM1 juta dan ke atas kemungkinan besar kita tidak akan berikan kuota untuk orang Melayu, Bumiputera, ia seharusnya kuota terbuka. Bagaimanapun, kita akan kaji balik dan hendak tengok dasar apakah yang boleh kita tentukan.

“Hal ini kerana data yang kita ada belum cukup lagi untuk kita buat rumusan yang lebih tepat,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, perkara yang perlu diutamakan ialah memenuhi keperluan majoriti pembeli Melayu dan Bumiputera bagi hartanah berharga RM500,000 ke bawah.

“Memandangkan keperluan orang Bumiputera dan kebanyakannya adalah RM500,000 ke bawah, rumah mampu milik dan itu yang kita patut teliti mengenai kelongggaran pinjaman.”

Pada 7 April lalu, Barisan Nasional (BN) menerusi manifesto pilihan raya umum ke-14 bertemakan “Bersama BN Hebatkan Negaraku” yang dilancarkan Datuk Seri Najib Razak, berjanji menamatkan dasar diskaun lot Bumiputera bagi hartanah RM1 juta dan ke atas.

BN ketika itu turut berjanji menubuhkan sebuah bank khas untuk memudahkan pinjaman bagi rumah berharga RM300,000 dan ke bawah, serta insentif cukai bank dan pemaju yang menawarkan skim sewa untuk beli.

Pada 10 April lalu, Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) dilaporkan menyambut baik cadangan BN itu kerana pihaknya sudah lama mencadangkan diskaun Bumiputera untuk hartanah mewah dimansuhkan.

Setiausaha Agung HBA, Chang Kim Loong dilaporkan berkata, dasar pemberian diskaun Bumiputera akan menyebabkan pemaju menaikkan harga hartanah lain untuk memenuhi margin keuntungan dan pembeli bukan Bumiputera terpaksa membeli rumah pada harga lebih tinggi.

“Bayangkan sebuah rumah mewah bernilai RM3 juta. Diskaun Bumiputera 7% ialah RM210,000. Wang itu boleh digunakan untuk membina 3 unit pangsapuri kos rendah bernilai RM70,000 setiap satu bagi Bumiputera miskin.”