Kerajaan PH sama menindas seperti BN, kata Suaram

KUALA LUMPUR: Aktivis hak asasi manusia, Dr Kua Kia Soong menempelak kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai sebuah rejim yang sama menindas seperti kerajaan yang digantikannya dalam pilihan raya umum Mei lepas.

Beliau yang memberi komen berhubung keputusan terbaru Putrajaya untuk mengekalkan undang-undang yang sering disifatkan sebagai menekan berkata, alasan yang diberikan adalah sama seperti yang pernah didengari sebelum ini semasa kerajaan Barisan Nasional berkuasa.

Minggu lepas, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yssin mengumumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk menarik balik moratorium ke atas Akta Pencegahan Jenayah (Poca), Akta Pencegahan Keganasan (Pota), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) dan Akta Hasutan berikutan insiden rusuhan kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 26 Nov.

Isnin lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, keputusan itu dibuat susulan kebimbangan mengenai isu keselamatan negara, ketenteraman awam dan hubungan kaum.

Beliau berkata, kerajaan akan menggunakan undang-undang tersebut hanya dalam kes tertentu.

Kua, yang merupakan penasihat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata, kerajaan BN pernah menggunakan perkataan yang sama bagi mewajarkan undang-undang terbabit.

Katanya kepada FMT, beliau percaya langkah PH terbantut kerana ketiadaan keazaman politik dan ideologi politik yang jelas.

Beliau berkata, tiada satu pun parti komponen PH boleh dianggap sebagai progresif dan sebab utama ia gagal menjalankan pembaharuan yang dijanjikan ialah kerana kawalan yang dipaksakan ke atas gabungan politik itu oleh Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan juga ketua PH.

“Saya tidak pasti sama ada Dr Mahathir benar-benar yakin akan keperluan penghapusan undang-undang penahahan tanpa bicara serta pelaksanaan pembaharuan yang progresif,” katanya.

“Ini adalah salah satu sebab saya tidak meletakkan harapan tinggi pada PH apabila diberitahu ia diketuai oleh Dr Mahathir.

“Beliau tidak pernah meminta maaf atas perbuatan lampaunya. Beliau tidak meminta maaf kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. Beliau tidak meminta maaf kepada mangsa Ops Lalang. Manusia jenis apakah ini? Anda mahu harapkan apa daripada orang seperti itu?”

Kua, yang merupakan bekas ahli DAP, pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri – undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara yang dimansuhkan oleh kerajaan lepas.

Pengkritik menganggap pemansuhan undang-undang itu hanya bersifat kosmetik, kerana kerajaan masih boleh menahan tanpa bicara dengan menggunakan Poca, Pota dan Sosma.

Kua berkata, ramai yang ditahan di bawah undang-undang itu bukanlah tokoh terkenal dan keluarga mereka menderita kerana kurangnya simpati awam.

“Sesetengah mereka didakwa pengganas, dan yang lain dikatakan gengster. Tetapi siapakah yang dapat mengesahkannya?

Beliau berkata, mereka perlu didakwa di mahkamah atau dibebaskan, dengan menambah terdapat peruntukan undang-undang yang mencukupi di bawah Kanun Kesiksaan untuk menangani perlakuan jenayah yang dikatakan dilakukan oleh individu terbabit.

Kua juga berkata, pembaharuan yang diharapkan daripada PH boleh dilakukan dalam tempoh 100 hari selepas ia berkuasa, antaranya seperti tuntutan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama sekolah persendirian Cina (UEC) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

“Apakah yang menghalang mereka daripada mengiktiraf UEC? Ramai graduan sekolah berkenaan terlepas peluang untuk belajar di universiti awam atau bekerja dalam sektor awam.

“Tentang Auku, walaupun jika mereka tidak boleh mengubah undang-undang itu sekarang, paling tidak mereka boleh membenarkan pelajar terlibat dalam kegiatan politik.

“Adakah mereka perlukan lebih masa? Saya fikir tidak.”

Kua juga mengkritik pilihan anggota Kabinet Dr Mahathir, dengan berkata ia memperlihatkan kecenderungan untuk menipu helah.

“Mahathir pintar,” katanya. “Dia tahu bagaimana untuk berjual-beli. Dia berikan jawatan menteri kewangan kepada Lim Guan Eng untuk mengembirakan DAP suapaya parti itu tidak membantah perkara lain.

“Dan siapakah Syed Saddiq, yang tidak pernah bekerja tetapi sekarang seorang menteri? Apakah yang Mat Sabu tahu tentang pertahanan?

“Saya jangka akan timbul masalah politik apabila Anwar menjadi erdana menteri kerana kita tidak tahu muslihat yang direncanakan oleh Mahathir.”

Katanya, Awar patut diberikan jawatan dalam Kabinet.

“Bukankah itu tujuan pilihan raya kecil Port Dickson? Kenapakah beliau hanya ‘mengutip sampah’ di situ?”

Kua juga mengkritik PH kerana didakwa gagal menunaikan janji pentadbiran yang telus dengan memberi contoh kegagalannya mendedahkan kepada umum laporan Majlis Penasihat Kerajaan dan Jawatankuasa Reformasi Institusi.

“Jika mereka tidak mendedahkan laporan itu, kita tidak akan tahu sama ada majlis tersebut measihati Mahathir berhubung projek kereta nasional ke-3,” katanya.

“Kita boleh pertanggungjawabkan mereka kerana memberi nasihat itu kepada Mahathir.”

Beliau berkata, Suaram merupakan salah satu pertubuhan yang menumbang idea kepada Jawatankuasa Reformasi Institusi.

“Selepas apa yang kami buat, sekarang anda beritahu laporan itu tidak akan didedahkan kepada umum. Itu tidak boleh dimaafkan. Oleh sebab itulah kami perlu memaklumkan laporan kami kepada umum.”