PAS puji keputusan Dr M tidak hadir acara Suhakam

Timbalan Presiden PA, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan perdana menteri tidak menghadiri acara sambutan Hari Hak Asasi Manusia adalah tepat.

PETALING JAYA: PAS hari ini memuji langkah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak menghadiri acara sambutan Hari Hak Asasi Manusia anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) selari dengan keputusan Putrajaya tidak meratifikasi triti hak asasi antarbangsa.

Timbalan presiden parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan perdana menteri itu patut dicontohi oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lain.

Katanya, ini akan mengurangkan ciri tidak konsisten berhubung pendirian kerajaan terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tersebut.

“Diharapkan selepas ini, tidak ada pemimpin PH memberi gambaran lain (mengenai triti itu), kerana ia hanya akan memperkuatkan persepsi bahawa keputusan Putrajaya tidak meratifikasi ICERD hanyalah sementara,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Dr Mahathir, yang juga merupakan pengerusi PH berkata, beliau tidak akan menghadiri acara sambutan badan hak asasi itu, yang diadakan hari ini, kerana kerajaan memutuskan untuk tidak meratifikasi ICERD.

“Suhakam mahu terima ICERD, jadi bagaimana sya hendak pergi,” beliau dilaporkan berkata selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH.

Dr Mahathir pada awalnya dijadualkan akan melancarkan sambutan Hari Hak Asasi Manusia Suhakam di Padang Timur di sini semalam.

Bagaimanapun acara itu ditangguhkan ke hari ini selepas dinasihati polis atas sebab risiko keselamatan kerana pada hari yang sama, satu himpunan anti ICERD akan diadakan di Kuala Lumpur.

Pada Nov lepas, kerajaan PH memaklumkan bahawa ia tidak akan meratifikasi ICERD. Triti itu dibantah oleh pertubuhan orang Melayu dan beberapa parti politik yang mengingatkan bahawa triti berkenaan mengancam dasar afirmatif yang diamalkan di Malaysia.

Tuan Ibrahim berkata, Suhakam patut menyokong pendirian Dr Mahathir dan harapan “jutaan rakyat Malaysia yang behimpun di Kuala Lumpur semalam” bagi menentang triti itu.

Dengan berbuat demikian Suhakam memberi gambaran seolah-olah ia merupakan alat pihak asing yang tidak memahami keadaan di Malaysia.