PH kumpul RM1.88 juta biaya kos operasi, aktiviti

Gambar berserta tandatangan Muhyiddin Yassin (kanan) dijual pada harga RM110,000 dalam Majlis Makan Malam Amal PH hari ini.

PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) berjaya mengumpul dana sebanyak RM1.885 juta melalui jualan meja dan gambar pemimpin gabungan itu dalam Majlis Makan Malam Amal yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam ini.

Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sebanyak RM1.665 juta dikutip secara telus dan berintegriti daripada jualan 156 meja, manakala RM1.22 juta dikumpul melalui bidaan 6 gambar pemimpin PH.

Timbalan perdana menteri berkata, semua dana itu akan dimasukkan terus ke akaun bank gabungan terbabit untuk membiayai kos operasi, pengurusan dan aktiviti PH.

Majlis bertemakan “Memenuhi Harapan, Mengisi Kemenangan” itu turut dihadiri Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali.

Hadir sama ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah.

Pembeli dari China membeli gambar Lim Guan Eng (kiri) bersama bapanya, Kit Siang pada harga RM100,000.

Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang, tetapi mengingatkan tiada layanan istimewa akan diberikan kepada mereka.

“Bagi mereka yang menderma atau membeli meja, saya minta maaf tidak ada keistimewaan bagi kamu. Kalau hendak sesuatu dari kerajaan, caranya adalah bersaing dengan proses tender terbuka.

“Kalau tawaran yang dibuat adalah baik, maka kamu akan menang. Tetapi tidak berasaskan kepada wang yang kamu sampaikan malam ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Amal PH itu.

Gambar diambil semua pemimpin tertinggi PH pada malam 10 Mei lalu, selepas Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-7 di depan Yang di-Pertuan Agong, dibeli Pengarah Eksekutif Platinum Victory Holding Sdn Bhd, Gan Yee Hin pada harga tertinggi RM500,000.

Potret Dr Mahathir pula dijual pada harga ke-2 tinggi kepada jutawan dan pengasas syarikat pembuat sarung tangan Supermax Corporation Bhd, Datuk Seri Stanley Thai pada harga RM350,000.

Potret Wan Azizah pula dijual pada harga RM150,000 kepada ahli perniagaan, Deepak Jaikishan.

Gambar Muhyiddin dijual pada harga RM110,000, gambar Guan Eng bersama bapanya, Kit Siang dijual RM100,000 dan potret Mohamad Sabu dijual RM10,000.