PKR pandang serius dakwaan PH menindas, komited tolak akta zalim

Anwar Ibrahim berkata, Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus yang dipengerusikannya akan menjadikan isu menolak undang-undang zalim sebagai pertimbangan utamanya.

KOTA KINABALU: PKR memandang serius kenyataan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan dasar “menindas” sebagaimana dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Namun, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendapat Suaram itu tidak menghalang PKR daripada melaksanakan komitmen parti untuk menolak semua undang-undang zalim yang diwujud dan dikuatkuasakan kerajaan BN sebelum ini.

“Ini pendirian kami (menolak undang-undang zalim). Ini jelas termaktub dalam manifesto (PKR) dan tentunya kami memenuhi komitmen itu,” katanya selepas bermesyuarat dengan ketua bahagian PKR Sabah hari ini.

Beliau mengulas kenyataan penasihat Suaram, Kua Kia Soong baru-baru ini.

Kenyataan Kua dibuat, selepas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Kabinet memutuskan menarik balik moratorium ke atas Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017, Akta Pencegahan Keganasan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) berikutan insiden Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, pada 26 November lalu.

Anwar berkata, walaupun parti dalam PH memberi mandat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengetuai gabungan itu, ini tidak bererti mereka terhalang daripada mengetengahkan pandangan mereka.

Katanya, ini terbukti menerusi penubuhan kaukus Parlimen mengenai reformasi dan urus tadbir yang dipengerusikannya, di mana isu menolak undang-undang keras menjadi keutamaan dalam pertimbangan kaukus itu.

Beliau berkata, kaukus itu juga akan menentukan Malaysia Baharu memerlukan iklim perubahan dengan penekanan jelas kepada urus tadbir baik serta bebas daripada rasuah, ketaksuban kaum dan agama.

“Kita mewarisi pengalaman hodoh penyakit rasuah dan salah guna kuasa masa lalu, dan terdapat usaha oleh kumpulan terdesak ini menonjolkan tafsiran agama dan perkauman yang ekstrem.

“Ini tidak boleh dianggap remeh dan kita perlu mengambil langkah yang cukup dan menganggap ini sebagai keutamaan dengan penekanan pembangunan ekonomi.”