Senator: Reformasi Parlimen perlu ikut acuan unik Malaysia

Yusmadi percaya negara kecil seperti Malaysia juga mampu mencipta nilai demokrasi yang boleh menjadi rujukan negara lain di dunia.

KUALA LUMPUR: Reformasi terhadap Parlimen harus mengikut acuan unik sejarah dan negara Malaysia itu sendiri, kata seorang senator Dewan Negara semalam.

Mohd Yusmadi Mohd Yusof berkata, apa yang sesuai dilaksanakan oleh sistem berparlimen negara lain tidak semestinya sesuai diadaptasikan di sini dan sebaliknya pihak terlibat perlu mencari mekanisme ideal untuk demokrasi berparlimen di Malaysia.

Katanya, sistem demokrasi bukan monopoli negara besar dan negara Barat.

Malah, beliau percaya negara kecil seperti Malaysia juga mampu mencipta nilai demokrasi yang boleh menjadi rujukan negara lain di dunia.

Mohd Yusmadi Mohd Yusof.

” Kita tidak boleh memikirkan bahawa pembaharuan Parlimen adalah sesuatu yang berlaku di United Kingdom atau diguna pakai di Paris…oleh itu kita perlu melakukannya di sini.

“Kita perlu mencari apa yang ideal untuk demokrasi kita. Setelah 60 tahun, kita mempunyai negara berbilang kaum dan agama namun stabil.

“Ini mesti ada sesuatu yang kita lakukan adalah betul,” katanya pada Seminar Reformasi Parlimen anjuran Institut Darul Ehsan dan Parlimen Malaysia di Bangunan Parlimen, semalam.

Yusmadi, bekas Ahli Parlimen Balik Pulau selama 2 penggal, merupakan seorang daripada panel dalam diskusi bertajuk ‘Memperkasa Amalan Berdemokrasi Parlimen 60 Tahun di Malaysia’ .

Beliau juga berkata semua usaha reformasi yang dijalankan perlu berpaksikan kepada rakyat bagi memastikan rakyat adalah penerima manfaat utama hasil dasar dan keputusan yang dibuat kerajaan.

Katanya, tiada gunanya jika dana berjuta-juta ringgit dibelanjakan atas nama memperkukuhkan sesebuah institusi itu sekiranya kebajikan rakyat terabai.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen Santubong, mencadangkan supaya Parlimen mewujudkan sebuah jawatankuasa pilihan untuk setiap kementerian bagi memantau dan memperkasakan lagi ketelusan sesebuah kementerian itu.